Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar menghadap Sultan Kedah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat lawatan singkat ke Alor Setar malam tadi untuk menghadap Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Butiran mesyuarat itu belum didedahkan, tetapi ia diadakan dua hari selepas baginda bertitah menggesa kerajaan pusat untuk mempertimbangkan semula pendirian terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

Sultan Sallehuddin pada Ahad - semasa merasmikan persidangan pertama dewan undangan negeri Kedah - berkata projek itu berperanan sebagai enabler atau pemboleh kepada Kedah dan mahu Putrajaya memberi pertimbangan sewajarnya.

KXP adalah sebahagian daripada projek mega Aerotropolis Kedah - yang merangkumi hab penyelenggaraan dan perkhidmatan - yang menurut kerajaan negeri akan dibiayai secara kaedah pembiayaan swasta (PFI).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa halangan.

Anwar tiba di lapangan terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas

Anwar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa walaupun tanpa wang persekutuan, perbelanjaan sebanyak RM7 bilion masih perlu diteliti oleh Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

Dia juga berkata bahawa pelabur utama yang dicadangkan - hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary - tidak bersedia untuk menjalankan projek itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelabur lain boleh dipilih.

Tidak dapat dipastikan sama ada lawatan Anwar ke Kedah malam tadi seperti dirancang atau secara spontan.

Anwar hanya disambut oleh Wan Hassan dan Sheikh Fadzil

Bernama melaporkan Sanusi juga tidak berada di lapangan terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas untuk menyambut ketibaan perdana menteri.

Sebaliknya, Anwar disambut oleh Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad, dan mufti negeri Sheikh Fadzil Awang.

Selepas menghadap Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit, perdana menteri dan delegasinya menziarahi makam Sultan Abdul Hamid sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Sebelum lawatannya ke Kedah, Anwar menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di Putrajaya.

Samsuri , dalam catatan Facebook semalam, berkata kedua-dua mereka mengadakan perbincangan dengan penuh semangat keterbukaan dan positif, antara lain berkait dengan urusan negeri - persekutuan, program pembasmian kemiskinan, pembangunan dan kewangan.