Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco N Sembilan cadang buat 'video peringatan' etika pemakaian

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Exco Negeri Sembilan Nicole Tan menggesa kerajaan negeri untuk menggunakan video bagi memberi "peringatan mesra" berkenaan etika pemakaian di premis kerajaan.

Ia susulan satu lagi insiden di mana seorang wanita dilarang masuk ke premis kerajaan di Wisma Negeri di Seremban.

Ketika itu, wanita tersebut memakai gaun paras lutut. Dia dilarang masuk kerana ada belahan kecil pada gaun yang dipakai.

"Esok (hari ini) kita ada mesyuarat exco. Saya akan cadangkan agar kerajaan terbitkan video sebagai peringatan mesrat berkenaan etika pemakaian.

"Apabila berurusan di premis kerajaan, ada keperluan untuk ikut peraturan," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Menurut laporan China Press, pengadu tersebut merasakan dirinya tidak dapat berbuat apa-apa walaupun yakin dirinya tidak melanggar etika pemakaian, dan berkata dia telah mengambil cuti daripada kerja untuk menyelesaikan urusan di pejabat kerajaan.

Tan berkata walaupun pakaian wanita itu menutup lutut, belahan kecil mendedahkan sedikit lututnya dan maka ia melanggar etika pemakaian.

Mengatakan ia bukan pelanggaran yang jelas, Tan berkata dia berpandangan wanita itu patut dikecualikan daripada peraturan tersebut.

"Namun, (pihak keselamatan) berpandangan mereka patut menyediakan kain atau jaket untuk mereka yang tidak mengikut etika pemakaian sepenuhnya," katanya.

Tan juga menegaskan dalam masyarakat pelbagai kaum, rakyat Malaysia perlu mencari jalan tengah dan mencapai konsensus berkenaan etika pemakaian yang standard apabila mendapatkan perkhidmatan di pejabat kerajaan.

"Tentunya setiap peraturan atau garis panduan perlu mengambil kira keadaan tertentu, seperti ketika kecemasan. Kita tak boleh menjangkakan orang untuk balik rumah dan tukar pakaian dulu," katanya lagi.

Kata Tan lagi, jika ada aduan baru seumpama itu di premis kerajaan di Negeri Sembilan, dia sendiri akan menelitinya.

Dia juga tidak bersetuju dengan sesetengah wakil rakyat DAP lain yang mendakwa etika pemakaian kerajaan ada kala bersifat diskriminasi.

"Dalam masyarakat, kita perlu patuh pada peraturan tertentu. Selagi orang ramai boleh ikut peraturan asas - tutup lutut dan tidak pakai baju tanpa lengan - ia memadai," katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Dewan Rakyat berkata penguatkuasaan kod pakaian tanpa budi bicara di bangunan kerajaan melanggar pekeliling kerajaan oleh ketua setiausaha negara pada 2020.

Ngeh berkata pekeliling itu dengan jelas menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh didiskriminasi daripada menerima perkhidmatan kerajaan hanya kerana cara mereka berpakaian.

Ketika sidang Dewan Rakyat pada hari sama juga, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran memberitahu seorang wanita dilarang daripada membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya di balai polis Gombak kerana dia memakai skirt dan blaus yang dilihat "tidak sopan".

[Baca berita asal]