Laporan: GTA sedia sertai PN
Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk gabungan Melayu terbesar di negara ini.
GTA terdiri daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), The Pan-Malaysian Islamic Front (Berjasa), dan Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman).
Utusan Malaysia, yang memetik sumber GTA, berkata Putra juga akan menjalani pertukaran nama kepada GTA pada perhimpunan agung tahunan parti itu bulan depan, dan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden.
“Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Dr Mahathir selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.
“Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan PN sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)," kata sumber itu seperti dilapor.
Menurut sumber itu lagi, GTA tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang tetapi akan menyokong PN di enam negeri yang terlibat.
Sumber itu menyatakan harapan bahawa PN akan mendapat sokongan Melayu dalam PRN, kerana sentimen politik semasa adalah antara senario 'Melayu-PN' atau 'Umno-DAP'.
Senario ini, kata sumber itu, adalah liabiliti kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kini berdepan pertuduhan rasuah.
"Kalau ikut data Melayu bergabung ke arah PN, kerana Melayu dalam UMNO sendiri pun tidak akan undi UMNO lagi dan di Selangor akan jatuh ke tangan PN kecuali di bandar-bandar Cina, situasinya 50-50.
“GTA akan menyokong PN kerana matlamat kita untuk menghadapi PRU16 kerana PRN ini tidak membantu kita mengubah apa-apa dasar.
“PRU16 bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara pakatan parti politik terbesar sekali gus mengulangi peristiwa bagaimana Melayu memberontak melawan Malayan Union,” katanya.
Bulan lalu, Mahathir menyertai Putra sebagai penasihat, selepas meninggalkan Pejuang, yang ditubuhkannya pada 2020.
Mahathir mendakwa dia keluar dari Pejuang kerana parti itu tersasar daripada perjuangan asalnya dengan meninggalkan GTA pada 14 Jan lepas.
Awal bulan ini dilaporkan Pejuang telah memohon untuk menyertai PN sebagai parti komponen.
Presidennya Mukhriz Mahathir berkata penyertaan Pejuang sebagai komponen PN akan memastikan tiada perpecahan dalam undi Melayu pada pilihan raya akan datang.
Pada PRU15, semua calon di bawah parti komponen GTA - termasuk Pejuang - kehilangan wang deposit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai