Akta Warga Emas akan digubal, timbang tindakan pada anak abai tanggungjawab
PARLIMEN | Akta Warga Emas akan diwujudkan untuk melindungi kebajikan golongan itu sebagai persediaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Pada masa sama timbalan menterinya Aiman Athirah Sabu berkata kementerian juga menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan undang-undang mewajibkan potongan gaji kepada kalangan yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan, terhadap anak-anak yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Tugasan menjaga anak-anak merupakan amanah kepada kedua ibu bapa sama juga anak-anak perlu menyantuni dan jaga kedua ibu bapa mereka.
“Kementerian sambut baik cadangan untuk perkenalkan undang-undang untuk mewajibkan potongan gaji anak-anak yang hantar ibu bapa rumah jagaan sekiranya anak-anak itu berkemampuan tapi tidak melaksanakan tanggungjawab," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi anak-anak yang tidak berkemampuan, katanya lagi, ada inisiatif menyelurh bagi menjaga kebajikan ibu bapa mereka yang sudah tua menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, antaranya pusat jagaan Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ihsan.
Aiman Athirah berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) jika kementerian berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan.
Mengulas lanjut berhubung akta tersebut, Aiman Athirah berkata akta yang dijangka dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada tahun depan akan turut meneliti aspek anak-anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka demi meningkatkan kesedaran umum.
“KPWKM mengadakan kajian kandungan pendekatan dan skop khusus untuk warga emas di Malaysia dan penggubalan Akta Warga Emas ini dilihat sebagai satu langkah positif yang bersifat holistik untuk melindungi warga emas di Malaysia.
“Antara kandungan akta tersebut ialah melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas, memperkasakan warga emas dan ahli keluarga serta komuniti, mewujudkan sistem yang kuat untuk warga emas dan mewujudkan sistem yang kuat untuk penjaga mereka.
“Pada masa sama, KPWKM akan meneliti kesesuaian (peruntukan berkenaan) anak-anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum berhubung kepentingan menjaga warga emas akan terus meningkat,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai