Skip to main
Logo Malaysiakini

Melaka mohon KKM tambah pusat dan mesin dialisis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Melaka memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menambah pusat dan mesin hemodialisis bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di negeri itu, sidang DUN Melaka diberitahu hari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata setakat ini Melaka mempunyai empat pusat hemodialisis KKM iaitu di Hopital Melaka, Hospital Alor Gajah, Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Cheng yang beroperasi dengan maksimum 62 mesin hemodialisis bagi merawat 282 pesakit.

"Saya tahu apabila bercakap tentang dialisis ini, ramai rakyat kita yang terkesan apabila mereka tidak mampu menampung kos rawatan berkenaan tetapi di peringkat negeri, kita ada bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Tetapi mana-mana pesakit yang telah dikenal pasti tidak mempunyai majikan atau sumber pendapatan dan jatuh dalam kategori golongan asnaf, sudah tentu golongan ini kita akan masukkan mereka ke fasiliti hemodialisis KKM di hospital dan klinik kerajaan," katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Ban Hong (BN-Klebang) yang ingin tahu tentang usaha dan inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan pesakit buah pinggang di Melaka mampu mendapat perkhidmatan dialisis dan tidak membebankan mereka memandangkan jumlah pesakit semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata selain fasiliti hemodialisis KKM, Pusat Hemodialisis Yayasan Toh Puan Zurina juga menawarkan rawatan dialisis percuma kepada asnaf bagi membantu meringan beban mereka.

Dia berkata pesakit buah pinggang juga boleh mendapatkan rawatan dialisis di 32 pusat hemodialisis swasta di negeri itu yang dilesenkan membabitkan 449 mesin hemodialisis yang mampu menampung 1,513 pesakit.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Maim untuk membuka satu atau dua lagi pusat dialisis dalam tempoh tiga ke empat tahun akan datang agar mampu menampung keperluan rakyat Melaka khususnya pesakit buah pinggang," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (DAP-Bandar Hilir) berkaitan matlamat perancangan masa panjang penempatan alat defibrilator luaran automatik (AED) di negeri itu, Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 500 alat (AED) ditempatkan di sekitar negeri itu khususnya di kawasan tumpuan awam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Setakat ini, katanya lagi, Melaka hanya mempunyai 25 AED yang berada di 19 lokasi sekitar negeri itu dan jumlah itu tidak mencukupi kerana Melaka merupakan negeri pelancongan dan penempatan alat berkenaan di kawasan tumpuan awam merupakan satu keperluan untuk memberi rawatan awal kepada pelawat yang mengalami serangan jantung.

"Penambahan AED melibatkan kos dan kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk majikan, syarikat atau kilang dan pusat beli-belah untuk menempatkan alat berkenaan di premis mereka.

"Menerusi Jawatankuasa MyHeart, kita juga akan mengeluarkan polisi agar lebih banyak tempat awam dan syarikat meletakkan AED," katanya.

-Bernama