Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosol dakwa Anwar kelirukan dewan isu ketirisan diesel

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dituduh membuat kenyataan "mengelirukan" di Dewan Rakyat mengenai ketirisan RM10 bilion dalam pelaksanaan subsidi diesel.

Rosol Wahid (Perikatan Nasional-Hulu Terengganu) berkata angka yang diberikan menteri kewangan itu bercanggah dengan angka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Ini adalah berhubung pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb yang mengandungi kenyataan beliau (Anwar) yang mengelirukan Dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina prosiding.

“Semasa pembentangan, menteri kewangan berkata terdapat ketirisan dalam subsidi diesel berjumlah RM10 bilion setahun.

“Bagaimanapun, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bagi tempoh 2018-2022, subsidi hanya bernilai RM18.7 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol turut mempersoalkan angka itu, berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub hanya kini menubuhkan pasukan petugas untuk memastikan jumlah RM10 bilion.

“Menteri perdagangan dalam negeri berkata beliau hanya kini mengumpul data. Jadi ini menunjukkan terdapat percanggahan antara data yang dikemukakan oleh Tambun (Anwar) dengan apa yang telah dijelaskan dalam Dewan ini oleh menteri,” katanya.

Dia juga merujuk kepada laporan lain pada 9 Mac, di mana Salahuddin berkata lima kementerian termasuk kementeriannya sendiri akan bermesyuarat dalam beberapa minggu akan datang untuk meneliti kebocoran subsidi diesel.

Rosol berkata dia telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan perlimen berhubung perkara ini.

“Semalam, saya menghantar surat kepada speaker untuk merujuk Tambun (Anwar) kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan selaras dengan (Aturan Mesuarat) 36 (12) kerana mengelirukan Dewan," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang mempengerusikan persidangan itu, berkata sebarang keputusan yang dibuat olehnya dan timbalannya Alice Lau perlu selaras dengan keputusan Johari.

Justeru, Ramli menasihatkan Rosol supaya membangkitkan perkara itu apabila Johari mempengerusikan persidangan.