Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Senarai calon PRN diteliti selepas pemilihan Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno akan mula meneliti nama-nama untuk dicalonkan dalam PRN selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac ini, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata mereka yang menang dalam pemilihan sayap iaitu Puteri, Pemuda dan Wanita juga turut akan diteliti untuk dicalonkan.

“Tiga perkara yang menjadi kriteria utama untuk menjadi calon iaitu kebolehmenangan, disukai dan diterima ramai.

“Itu semua akan diteliti selepas Sabtu ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan calon-calon pemilihan Umno 2023-2026, di Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya berhubung kriteria pemilihan calon-calon bagi PRN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang dijangka diadakan pada Jun atau Julai depan.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata menjadi harapannya untuk melihat barisan kepimpinan baru mampu memberi kekuatan kepada parti berdepan PRN akan datang.

Melalui slogan Umno Bangkit 2.0, dia menggariskan lima hala tuju baru parti yang merangkumi 21 langkah.

“Saya mahu berikan kuasa kepada timbalan presiden, naib presiden serta majlis kerja tertinggi (MKT) untuk menterjemahkan pelaksanaan 21 langkah itu.

“Jika langkah itu perlu ditambah, saya sedia terima cadangan dengan syarat mereka bersetuju dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan itu harus dicapai,” jelasnya.