Skip to main
Logo Malaysiakini

220 kanak-kanak maut akibat penderaan dalam tempoh empat tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Terdapat 220 kes kanak-kanak mati akibat penderaan antara tahun 2018 hingga 2022, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Ini menurut jawapan bertulis parlimen pada 14 Mac kepada Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor yang meminta statistik kematian kanak-kanak akibat kes penderaan.

Dia memberikan butiran lanjut data mengikut jantina, iaitu 133 kes kematian bagi lelaki dan 89 kes bagi perempuan.

"Siasatan kes penderaan kanak-kanak yang mengakibatkan kematian dijalankan mengikut peruntukan undang-undang Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan.

"Statistik kematian kanak-kanak akibat kes penderaan antara 2018 hingga 2022 adalah sebanyak 220 kes," kata Saifuddin dalam jawapan itu.

Sebanyak 154 daripada kes itu telah diselesaikan, tambahnya.

Pada penghujung Disember tahun lalu dan awal Januari tahun ini, kes dua kanak-kanak kecil maut akibat didera menggemparkan negara.

Pada Disember, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Johor meninggal dunia akibat kecederaan serius dipercayai akibat penderaan fizikal dan penyeksaan oleh rakan-rakan kakaknya.

Seminggu kemudian, dilaporkan seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya berusia enam tahun di Sarawak didera, kemudian dibunuh, didakwa oleh teman lelaki ibunya.

Data Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat antara Januari hingga Jun 2022 juga mendedahkan terdapat 1,055 kes penderaan kanak-kanak.

Daripada jumlah itu, 706 kes melibatkan perempuan manakala 349 kes lelaki.