Skip to main
Logo Malaysiakini

Teresa Kok gesa audit kos cetak buku Mari Kenali Sawit

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi menjalankan audit berhubung kos yang terlibat dalam pencetakan buku Mari Kenali Sawit.

Buku itu merupakan inisiatif kementerian tahun lalu untuk memberi pendedahan kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah tentang minyak sawit.

Pada sidang akhbar hari ini, Teresa mendakwa bahawa selepas semakan dengan pencetak di Kuala Lumpur, kos sebuah buku sepatutnya "kurang daripada RM3".

Bagaimanapun, menurut jawapan bertulis parlimen bertarikh 21 Julai 2022, 210,060 dan 62,475 naskhah buku itu telah dicetak dan diedarkan dengan kos RM13.30 dan RM19.30 bagi setiap buku.

Ini berjumlah RM3,999,565.50 secara keseluruhan, termasuk kos penghantaran ke pejabat daerah sekolah di seluruh negara.

“Saya mempunyai pengalaman dalam mencetak risalah jadi saya tahu berapa kos yang sepatutnya.

“Bagaimana buku ini boleh berharga RM13.30 dan RM19.30?” katanya.

Teresa berkata, walaupun dia bersetuju untuk menyebarkan maklumat mengenai minyak sawit, perkara itu perlu dipandang serius kerana inisiatif itu dibiayai oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dia menggesa SPRM untuk turut menyiasat perkara itu.

"Menteri perlu menyiasat, dan juga mungkin SPRM perlu campur tangan," katanya.

Sebagai tindak balas, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Siti Aminah Aching menyambut baik cadangan Teresa.

“Kementerian mengalu-alukan cadangan Seputeh untuk menjalankan audit dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara itu,” katanya dalam ucapannya hari ini.

April lalu, bekas menteri perladangan dan komoditi Zuraida Kamaruddin berkata 300,000 naskhah buku itu akan diedarkan ke seluruh negara.

Menurut Zuraida, buku itu memperincikan fakta mengenai kelapa sawit serta kepentingan dan sumbangan industri komoditi kepada pembangunan sosio-ekonomi dan pendapatan negara.