Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengurusan perumahan awam tiada pangkalan data bersepadu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Secara teknikal, individu yang memiliki rumah daripada projek perumahan awam di sesebuah negeri boleh memohon atau mendapatkan rumah di negeri lain.

Hadirin yang menghadiri forum mengenai dasar perumahan awam pagi ini diberitahu, ini kerana tiada pangkalan data yang menyimpan semua data mengenai perumahan awam di negara ini.

Malah, data berkenaan disimpan di peringkat kerajaan tempatan, negeri dan pusat, menyebabkan tiada pemetaan atau perancangan yang betul mengenai penyediaan perumahan awam di Malaysia.

Pensyarah fakulti seni bina dan reka bentuk Universiti Islam Antarabangsa Syafiee Shuid berkata, sekitar 1990-an, kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama untuk memulakan sistem bersepadu bagi permohonan perumahan kos rendah.

Bagaimanapun, katanya, perkongsian data berkenaan berdepan kekangan, terutamanya apabila setiap negeri mempunyai kriteria dan dasar permohonan masing-masing berkaitan perumahan awam.

"Jadi negeri ambil alih, tak nak kongsi data, akhirnya sistem itu tak wujud.

"Kita tak boleh mengumpul data permintaan, pengurusan penghuni dan langkah exit policy secara berkesan.

"Sekarang ni negeri urus entry dan exit point, tapi ikut masing-masing punya acuan. Dan sukar kesan banyak isu sebab tak link (dihubungkan) dengan agensi lain, contohnya LHDN.

"(Jadi apabila) Orang memohon rumah di satu negeri, kita tak tahu dia ada rumah di negeri lain," katanya.

Tambahnya, isu perkongsian data dan pendaftaran perumahan negara dibangkitkan pihak berkepentingan beberapa kali, namun tidak dapat diselesaikan, berkemungkinan disebabkan perbezaan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Kajian: Perancangan dan pengurusan perumahan awam yang lemah

Syafiee menjawab soalan hadirin, semasa perbincangan ahli panel pada majlis pelancaran kajian Kediaman Yang Layak Untuk Penduduk Miskin Bandar oleh Institut Penyelidikan Khazanah tentang bagaimana kerajaan membuat keputusan mengenai di mana, berapa banyak dan jenis perumahan awam yang dibina.

Soalan itu ditanya selepas Setiausaha Bahagian Perancangan Perumahan KPKT, Amir Onn Mustapha berkata perlu ada pemetaan perumahan awam, jenis perumahan yang diminta dan bilangan orang yang memerlukannya.

Amir yang bercakap atas kapasiti peribadinya, juga bersetuju bahawa di negara lain, agensi perumahan awam mempunyai akses penuh kepada data pendapatan dan data transaksi, bagi memastikan hanya mereka yang layak mendapat rumah.

Antara lain, kajian KRI mendapati dasar untuk perumahan awam lemah dari segi perancangan dan penyelenggaraan, serta kurang memberi tumpuan untuk memastikan taraf hidup yang baik untuk golongan miskin bandar.

Ia mendapati penghuni perumahan awam tinggal di bangunan yang tidak diselenggara dengan baik, disebabkan perancangan insentif kewangan yang tidak betul, dan tidak mempunyai rancangan keluar untuk mereka memasuki perumahan swasta, walaupun keadaan ekonomi mereka bertambah baik.

Para penyelidik juga mencadangkan kriteria yang lebih diperkemas untuk pemilihan pemohon, menghubungkan kepada pangkalan data kebajikan e-Kasih untuk memastikan mereka yang paling memerlukan mendapat rumah dan menawarkan pelbagai jenis perumahan awam untuk memenuhi saiz isi rumah yang berbeza.

Ia juga mencadangkan audit dilakukan untuk melihat sama ada bangunan perumahan awam berbaloi untuk diubah suai atau dirobohkan sepenuhnya, dan agar Tinjauan Perumahan Nasional dijalankan, untuk mengisi daftar perumahan.

[Baca berita penuh]