Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar RM2 juta pada syarikat, pengasas
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai, berhubung saman fitnah yang difailkan syarikat itu.
Hakim Akhtar Tahir turut mengarahkan Lim untuk membayar kos RM250,000 kepada Lai dan syarikatnya.
Ketika dihubungi, peguam Lim, Guok Ngek Seong mengesahkan keputusan itu yang dibuat dalam prosiding dalam talian hari ini.
Lai dan Monspace memfailkan saman sivil terhadap Lim pada 2019 berhubung dakwaannya yang syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal memberi pulangan kepada pelabur seperti dijanjikan.
Pada tahun sama, media juga melaporkan beberapa pengasas syarikat didakwa di mahkamah berkaitan kes skim piramid.
Guok berkata mahkamah hari ini memutuskan defendan sepatutnya memberi ruang untuk siasatan dijalankan selepas membangkitkan isu tersebut.
Menurutnya, mahkamah berkata Lim melangkaui tugasnya sebagai ahli parlimen dengan membuat tuduhan terhadap plaintif dan sebagai ahli parlimen, dia bertanggungjawab untuk mengesahkan maklumat yang diterima terlebih dahulu.
Katanya lagi, Lim tidak sepatutnya pergi bersama-sama 19 warga China (yang didakwa menjadi mangsa skim) ke pejabat plaintif.
Guok memaklumkan mahkamah mengarahkan Lim untuk membuat permohonan maaf terbuka dalam tempoh tujuh hari selepas keputusan dibuat dan membayar ganti rugi RM500,000 kepada Lai dan RM1 juta kepada Monspace.
Katanya lagi, mahkamah juga mengarahkan Lim untuk membayar ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 kepada Lai dan Monspace, serta RM250,000 untuk kos kepada kedua-dua plaintif.
Ketika dihubungi, Lim berkata, "saya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan (di Mahkamah Rayuan)".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai