Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar sembah maklum pembangunan negara, Kedah - tiada sebut projek KXP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkongsi beberapa keping gambar semasa sesi menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, pada lewat petang, Selasa lalu.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Sallehuddin atas perkenan menerima menghadapnya.

Anwar langsung tidak menyebut tentang gesaan baginda supaya kerajaan pusat mempertimbangkan semula pendirian terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang disentuh baginda pada Ahad lalu.

Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin pada Ahad - semasa merasmikan persidangan pertama dewan undangan negeri Kedah - berkata projek itu berperanan sebagai enabler atau pemboleh kepada Kedah dan mahu Putrajaya memberi pertimbangan sewajarnya.

Menulis di Facebook, Anwar berkata pada sesi menghadap itu, dia menyembah maklum berhubung soal pembangunan negara dan negeri Kedah kepada baginda.

Perdana Menteri turut mendoakan semoga Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Anwar membuat lawatan singkat ke Alor Setar yang dipercayai ada kaitan dengan projek KXP.

Ia adalah sebahagian daripada projek mega Aerotropolis Kedah - yang merangkumi hab penyelenggaraan dan perkhidmatan - yang menurut kerajaan negeri akan dibiayai secara kaedah pembiayaan swasta (PFI).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa halangan.

Anwar sebelum ini memaklumkan Dewan Rakyat bahawa walaupun tanpa wang persekutuan, perbelanjaan sebanyak RM7 bilion masih perlu diteliti oleh Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

Dia juga berkata bahawa pelabur utama yang dicadangkan - hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary - tidak bersedia untuk menjalankan projek itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelabur lain boleh dipilih.

Dalam lawatan singkat itu, Sanusi juga dilaporkan tidak berada di lapangan terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas untuk menyambut ketibaan Anwar.

Sebaliknya, Anwar disambut oleh Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad, dan mufti negeri Sheikh Fadzil Awang.

Selepas menghadap Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit, perdana menteri dan delegasinya menziarahi makam Sultan Abdul Hamid sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.