Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan mahu perangi isu pemakanan tak seimbang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan bercadang untuk memerangi masalah beban berganda pemakanan tidak seimbang (malnutrition) dalam yang dihadapi 5.6 juta kanak-kanak prasekolah, sekolah rendah dan sekolah.

Selepas mempengerusikan Majlis Sosial Negara bersama kementerian-kementerian berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu dibuat supaya generasi Malaysia mempunyai pembentukan fizikal yang seimbang.

“Kami bincang secara terperinci langkah berkenaan… pembentukan fizikal bukan sekadar tinggi dan besar, tapi masalah pembantutan, masalah kurang saiz, berat dan juga masalah obesiti.

“Generasi Malaysia yang akan datang mesti mengikut piawaian yang ditentukan.

"Bukan sahaja mengikut WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) atau ukuran tertentu tapi kita mesti maklum sebagai orang Asean keseluruhannya sebenarnya pembentukan fizikal ini boleh dibetulkan jika nutrition itu dilakukan dan bersesuaian dengan piawaian,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara di bangunan Parlimen hari ini.Katanya, ia akan dikoordinasikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

“Peruntukan untuk malnutrition sekolah-sekolah rendah dan menengah sahaja melibatkan RM800 juta.

“Kita harus turut ambil kira pemakanan di taska, tadika, prasekolah, sebab pembentukan fizikal di situ. Justeru pendekatan dilakukan ialah penyelarasan keseimbangan pemakanan mengikut nasihat KKM,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, antara cadangan penting diperhalusi untuk tujuan tersebut adalah inisiatif pengecualian kepada pengusaha an syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi pembelian peralatan ukur berat dan tinggi bagi kegunaan taska dan sekolah.

Antara lain menggalakkan rangkaian pasar raya besar menawarkan harga borong bagi item buah dan sayuran, mewujudkan polisi larangan penajaan oleh syarikat yang mengeluar dan memasarkan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat, serta memperluaskan program hidangan berkhasiat sekolah.

Sementara itu, cadangan lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut merupakan masalah gelandangan yang terdiri daripada warganegara juga bukan warganegara.

“Kita mesti buat penyelesaian menyeluruh kepada masalah ini, termasuklah bagaimana tindakan penguatkuasaan, perundangan dan penyelesaian untuk memberikan mereka peluang kedua supaya soal penginapan, kehilangan pekerjaan dan juga masalah kesihatan mental yang berlaku kepada gelandangan dapat diatasi,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menyentuh isu pendaftaran taska dan pusat jagaan untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang tanpa kompromi terhadap isu kurikulum, silibus, keselamatan dan kesihatan.

Antara cadangan tersebut merupakan penyeragaman proses kerja dan syarat antara pihak berkuasa tempatan, penyelerasan tempoh perakuan dan lesen dan pindaan akta, serta meningkatkan kekerapan pusat sehenti di peringkat PBT daerah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pendaftaran taska dan pusat jagaan.