Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan titah pecat semua AJK masjid, surau jika ada penceramah tanpa tauliah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran bahawa semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau akan dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi kuliah atau syarahan agama di negeri itu.

Titah baginda, selain penceramah yang ingin menyampaikan kuliah, semua masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama juga wajib mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi pejabat kadi daerah.

"Permohonan kebenaran itu perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipeca,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri, hari ini.

Sultan Ibrahim berkata tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam, tetapi untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tindakan itu, titah baginda bertujuan untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

Pada 8 Mac lalu, baginda memperkenankan langkah MAINJ untuk bertindak terhadap individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah.

Tauliah berkenaan meliputi masjid dan surau serta di mana-mana tempat dalam Johor, selaras dengan Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan berdasarkan Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, penganjur yang menggunakan penceramah tanpa tauliah daripada MAINJ juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.