Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi basikal: Hisyam Teh wakili Sam dalam rayuan ketepi sabitan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam Hisyam Teh Poh Teik kini mengetuai pasukan pembelaan Sam Ke Ting dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang mengorbankan lapan remaja berbasikal di Johor pada 2017.

Hisyam mengesahkan perkara itu kepada media berhubung rayuan anak guamnya yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac ini.

Dia berkata akan mengetuai pembelaan bersama-sama peguam Harvinderjit Singh.

Sebelum ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan Sam dalam rayuannya. Sri Ram meninggal dunia pada 29 Jan lepas.

Hisyam pada masa ini turut mewakili Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi, serta kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN), di mana dia telah dibebaskan.

Dia juga pernah mewakili bekas perdana menteri Najib Razak untuk rayuan kes rasuah SRC International di Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Pengurusan kes bagi rayuan Sam dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisyam Mohd Jaafar pula mewakili pihak pendakwaan.

Pada 18 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman terhadap Sam, 27, sementara menunggu rayuannya.

Mahkamah juga mengekalkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadapnya.

Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan wanita itu tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja.

Bagaimapun pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengetepikan keputusan membebaskannya daripada pertuduhan itu. Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan hukuman terhadapnya.

Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu semula pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan juga telah membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

[Baca berita asal]