Jangan layan bekas tentera macam peminta sedekah - MP Bersatu
Kerajaan perlu menyelesaikan segera isu penyelarasan pencen membabitkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tertangguh sejak 2013.
Walaupun penyelarasan gaji pegawai dan anggota ATM sudah dilakukan 20 tahun lalu, namun penyelarasan itu tidak membabitkan pegawai dan anggota yang sudah pencen.
Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor berkata, belum ada menteri yang menerajui Kementerian Pertahanan dilihat ingin menyelesaikan isu berlarutan itu.
"Saya nak hak mereka ini ditunaikan, mereka bukan merayu, mereka bukan meminta, mereka tidak meminta sedekah, tapi ini adalah hak mereka yang perlu ditunaikan oleh kerajaan.
"Kita kena ingat, mereka ini, veteran ATM ini bekerja 24 jam tidak ada 'over-time' tidak macam orang (kerja) lain, tinggal anak isteri dan kalau berlaku apa-apa, siapa nak jaga keluarga," katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.
Terdahulu, dia merasmikan mesyuarat agong tahunan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Paya Besar, Pahang.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Mohamad Hassan pada 13 Mac lalu memaklumkan kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan itu tahun ini.
Katanya, penyelarasan pencen untuk veteran ATM akan diusahakan dalam belanjawan tahun depan jika keadaan kewangan negara mengizinkan.
Isu penyelarasan pencen sudah dibangkitkan sejak tahun lalu apabila Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob bagi menuntut empat perkara membabitkan veteran ATM.
Empat perkara dituntut adalah penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).
Semak semula pencen hilang upaya
Dalam pada itu Khlir turut memohon kerajaan mempertimbangkan kadar PHU yang sudah tidak disemak semula sejak tahun 2000.
"Sudah 23 tahun kadar itu tidak disemak dan saya dimaklumkan ketika ini terdapat 272 penerima PHU, ada yang hilang kaki, hilang mata (penglihatan) naikkanlah (elaun) itu, takkan nak tunggu mereka semua mati dulu," katanya lagi.
Buat masa ini veteran ATM yang hilang upaya menerima PHU antara minimum RM500 hingga RM2,000 maksimum.
Khlir bagaimanapun memuji Mohamad yang disifatkan sebagai menteri pertahanan yang baik dan ikhlas membantu veteran ATM.
"Saya harap veteran ATM janganlah kutuk menteri pertahanan sekarang (Mohamad) sebab saya nampak dia seorang yang baik dan ikhlas menjalankan tugas.
"Kalau nak kutuk menteri pertahanan sebelum ini, kutuklah, sebab saya tahulah perangai mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai