Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Rosdy raih undi tertinggi jawatan naib presiden Umno

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail meraih undi tertinggi bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti kali ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Shahrir Samad dalam sidang media sebentar tadi.

Wan Rosdy memperoleh 124 undi bahagian, diikuti Khaled Nordin (114 undi) dan seorang lagi muka baru bagi jawatan naib presiden, Johari Abdul Ghani (107 undi).

"Wan Rosdy memperoleh 124 undi (daripada Umno) bahagian, yang tertinggi dan boleh mengandaikan Wan Rosdy mengambil tempat Ismail Sabri Yaakob (bekas naib presiden).

"Orang Pahang yang menggantikan orang Pahang juga," katanya dalam sidang media di bangunan Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini jawatan naib presiden Umno dipegang oleh Ismail Sabri, Khaled dan Mahdzir Khalid.

Khaled, Wan Rosdy dan Johari

Dalam pemilihan kali ini, Ismail yang meraih undi tertinggi untuk jawatan itu pada pemilihan 2018 tidak mempertahankan kedudukannya.

Mahdzir pula gagal dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi naib presiden Umno.

Menurut Shahrir, kedudukan Johari yang mendapat kedudukan ketiga tertinggi tidak tergugat kerana undi untuk Azalina Othman Said yang berada di tempat keempat jauh ketinggalan

Katanya, hanya 187 daripada 191 bahagian Umno yang bersidang dan melaksanakan proses pemilihan Umno kali ini.

Empat bahagian yang tidak menjalankan pemilihan parti ialah Tanah Merah, Kota Kinabalu, Beluran dan Johor Bahru.

Sehingga kini hanya undi daripada empat bahagian yang belum diserahkan kepada JPU.

Shahrir juga berkata kedudukan lima terakhir bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mungkin berubah selepas kemasukan undi empat bahagian tersebut nanti.