Skip to main
Logo Malaysiakini

Nak rasa jadi angkasawan? Datang Sabah, pandu kereta - MP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) mempunyai kiasannya yang tersendiri dalam menggambarkan keadaan jalan persekutuan yang daif di Sabah.

Dia memberitahu Dewan Rakyat, bahawa sesiapa yang mahu merasai pengalaman menjadi angkasawan di bulan boleh mengalaminya di Sabah.

Wilfred menyindir menyamakan jalan raya di negeri itu yang penuh lubang, dengan kawah di permukaan bulan.

"Jalan raya itu juga banyak kerosakan, berlubang-lubang sehingga pada suatu ketika, di jalan Tuaran, lebih lima kereta tersadai di tepi jalan. Tayar pecah dan rim bengkok.

"Sekiranya ada yang nak jadi angkasawan hari ini, jangan risau. Semuanya kini jadi lebih mudah. Anda hanya perlu datang pandu kereta di Sabah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 pada peringkat jawatankuasa di parlimen hari ini.

Dalam semakan semula Belanjawan 2023 bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempercepatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta Jalan Hubungan Sarawak-Sabah.

"Pengalaman sama seperti berada di permukaan bulan. Dengan jalan berlubang di depan belakang, kiri dan kanan," katanya lagi.

Dia mengemukakan soalan kepada Kementerian Kerja Raya, meminta maklum balas mengenai langkah-langkah yang diambil untuk memastikan jalan raya berdaya tahan lebih lama.

Presiden Upko itu turut melahirkan rasa tidak senang terhadap Lebuhraya Pan Borneo kerana pembinaannya telah menyebabkan banyak kesan sampingan - banjir dan kerosakan harta benda.

Dia bertanya kepada kementerian berkenaan jika penilaian kesan alam sekitar (EIA) pernah dijalankan untuk pembinaan lebuh raya bebas tol itu.

"Boleh katakan rakyat Sabah tak puas hati dengan pencapaian Pan Borneo. Banyak kesan sampingan berlaku seperti banjir menyebabkan kerosakan harta benda.

"Dalam hal ini, adakah EIA telah dibuat untuk projek ini dan apakah laporan itu hanya satu laporan sepanjang jajaran 2,239km?

"Jika ya, berapa banyak EIA yang telah dibuat," soalnya.

Menjelaskan perkara itu, dia turut menyoal kementerian itu mengenai status siap projek dan sama ada ia berjalan mengikut perancangan atau tidak.