Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaga sensitiviti dalam ghairah komersialkan karya seni, kata Fahmi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata penggiat, ilmuwan, pengkarya serta budayawan seni perlulah mengamalkan keterbukaan dalam memberi dan menerima pandangan agar semak dan imbang dapat dilaksanakan.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, salah tafsiran atau sesuatu karya seni yang menyentuh sensitiviti mesti dielakkan dalam keghairahan mengkomersialkannya.

“Kesefahaman ini penting untuk memastikan usaha dan kesepaduan bersama dapat dicapai dengan saling bertukar pandangan dan sokongan, agar seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa sentiasa terpelihara dan diperkembang ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Fahmi berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2023 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hulu Kelang malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Ni Ching, Ketua Setiausaha KKD, Mohammad Mentek, Pengerusi Finas, Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Md Nasir Ibrahim.

Hari Seniman Kebangsaan 2023 yang membawa tema Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian adalah simbolik penghargaan kepada penggiat seni dan budaya yang banyak menyumbang serta mengharumkan nama Malaysia.

Pewartaan Hari Seniman Kebangsaan yang disambut pada 22 Mac setiap tahun itu dipilih bersempena tarikh kelahiran Tokoh Seniman Agung Negara, Allahyarham P Ramlee. Ia bagi mengenang kembali selain menghargai jasa dan bakti seniman legenda itu yang banyak mewarnai dunia seni tanah air dengan hasil karyanya.

Fahmi juga menaruh keyakinan bahawa industri kreatif amnya dan industri filem khususnya akan terus berkembang sebagai jentera ekonomi kreatif seperti negara luar termasuk Korea Selatan, China, Jepun serta AS.

“Melalui sektor itu, kerajaan melalui KKD serta Finas dapat terus meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan perjanjian kerjasama produksi antarabangsa dengan negara seperti China, Korea dan Indonesia,” katanya.

Diminta mengulas usaha dilakukan pemain industri perfileman untuk membawa masuk kelengkapan peralatan studio produksi maya ke Malaysia, Fahmi berkata, KKD menyokong usaha itu yang disifatkan mampu menjadi pencetus perubahan kepada industri.

Menurutnya, ia bertepatan dengan peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM102 juta, yang antara lain merangkumi Pengecualian Duti Import serta Cukai Jualan ke atas Peralatan Studio dan Produksi Penggambaran.

“Dalam konteks industri perfileman, apabila kita membawa masuk penggambaran filem dari luar ke Malaysia, kesan positif dapat dilihat bukan saja dari segi pelaburan tapi juga dari segi kemahiran dan pengalaman.

“Saya percaya dengan peralatan baru digandingkan dengan pengalaman kita terlibat dalam filem yang lebih besar, ia akan membantu industri filem dari segi teknikal di Malaysia.

“Jadi saya lihat ini satu perkembangan yang positif dan semestinya pihak kementerian kami menyokong,” katanya kepada pemberita selepas perasmian.