Setiap stesen KTMB mesti dilengkapi lif dalam masa setahun
Setiap stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mesti dilengkapi kemudahan lif dalam masa setahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata ini berikutan antara rungutan yang sering diterimanya adalah berkenaan ketiadaan lif di stesen komuter yang menyusahkan pengguna terutama golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung.
"Fokus tahun ini nak menambah baik (kemudahan) lif terlebih dahulu.
“Semua stesen komuter kena ada lif dalam masa setahun," katanya dalam majlis pelancaran aplikasi mudah alih Railway Assets Intelligence System (RAILS) yang dibangunkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Sepang hari ini.
Loke berkata RAC juga telah diarahkan membuat laporan audit bersama KTMB untuk dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan kadar segera bagi mengenal pasti stesen yang perlu diberi keutamaan dalam penyediaan kemudahan.
Beliau berkata RAC, agensi yang menjaga aset keretapi termasuk tanah di sepanjang landasan serta mengurus tanah untuk pembangunan komersial, mempunyai kemampuan dan pendapatan untuk menyediakan kemudahan di stesen kerana memperoleh hasil daripada penyewaan.
Sementara itu, Loke berkata aplikasi RAILS menawarkan kemudahan permohonan sewaan aset kereta api secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai menjadi rakan niaga RAC.
Kira-kira 1,300 penyewa dijangka menggunakan perkhidmatan RAILS dalam melakukan urus niaga dengan RAC, sekali gus dapat menamatkan masalah ejen pemungut serta kerenah birokrasi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai