Dr Mahathir kegagalan terbesar buat Melayu, kata Salleh Keruak
Proklamasi Melayu itu cuma tunjukkan Dr Maahathir adalah kegagalan terbesar pertingkat sosioekonomi orang Melayu, kata bekas ketua menteri Sabah itu.
Pengisytiharan yang dilaungkan oleh Dr Mahathir Mohamad nampaknya menunjukkan dia adalah kegagalan terbesar dalam mempertingkatkan kedudukan sosioekonomi orang Melayu, kata bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak.
Dia mengulas proklamasi 12 perkara oleh Mahathir itu, yang menyalahkan "kesusahan ekonomi dan politik" kaum itu atas "kecuaian" pemimpin Melayu sendiri.
Dalam erti kata lain, Salleh menyifatkan ia ibarat "pengisytiharan yang menuduh diri sendiri" kerana ia mencadangkan bahawa Mahathir adalah yang paling "cuai" daripada semua kepimpinan Melayu itu.
“Beliau telah menjadi perdana menteri selama 22 tahun (dari 1981 hingga 2003) dan kemudian selama 22 bulan (dari 2018 hingga 2022). Dia mengetuai dua kerajaan berbeza tetapi masih gagal.
“Pengisytiharan itu menunjukkan bahawa penggantinya Abdullah Ahmad Badawi juga gagal.
“Orang yang disokongnya untuk menggulingkan penggantinya, Najib Razak, juga gagal. Orang yang bekerjasama dengannya untuk menjatuhkan pengganti kepada penggantinya, Muhyiddin Yassin, juga gagal.
“Selain menggagalkan dirinya, Mahathir mempunyai peranan penting dalam memilih orang lain yang juga dikatakan gagal dalam mempertingkat nasib Orang Melayu. Jadi, kesimpulannya mudah sahaja. Dia adalah kegagalan terbesar,” katanya kepada Malaysiakini.
Memperhatikan bagaimana pengisytiharan itu mendakwa pilihan raya umum lepas menyaksikan kaum Melayu hilang kuasa politik, Salleh menyoal pemerintahan Mahathir yang tidak dipertikaikan selama lebih dua dekad.
“Beliau mengetuai kerajaan yang berjaya dalam semua pilihan raya umum. BN telah menguasai dua pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat. Walaupun begitu, pengisytiharan itu mendakwa keadaan orang Melayu masih dalam keadaan suram.
"Jadi apa gunanya kuasa politik itu apabila ia tidak memberi manfaat kepada orang Melayu?" dia tanya.
Menurut Salleh, pengisytiharan itu tidak ada kena mengena dengan nasib orang Melayu sebaliknya bagi memastikan Mahathir kekal relevan selepas tewas dalam pilihan raya umum lalu.
Namun demikian, bekas ketua menteri itu berkata proklamasi itu mencadangkan agar Anwar dan kerajaan gabungannya harus diberi pertimbangan sebagai harapan terbaik kerana gabungan ini belum diuji.
“Apa gunanya kembali kepada pemimpin seperti Mahathir, yang menurut pengisytiharannya sendiri, adalah pemimpin cuai yang gagal?” dia tanya.
Oleh itu, Salleh berkata jika Mahathir tidak dapat menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dia tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada masalah itu.
Mahathir telah menyalahkan Anwar kerana beberapa premis membatalkan tempahan untuk mengadakan perhimpunan bagi melancarkan pengisytiharan itu.
Antara lain, pengisytiharan itu menyatakan:
Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini. Gerai-gerai kecil mereka pun sudah diambil orang.
Mutakhir, satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka.
Nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka.
Puncanya kerana kecuaian pemimpin Melayu sendiri.
Parti Melayu atas nama Agama, Bangsa dan Negara sudah diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.
Rebutan jawatan dan wang telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.
Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka.
Masa depan Melayu kini amat gelap. Kemiskinan memaksa orang Melayu menjual tanah-tanah mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai