Diurung tikus, lipas dan lalat: JKNS arah tutup 42 premis makanan
Sebanyak 42 premis makanan diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kerana urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI) selain mendapat markah demerit rendah, antara Januari hingga 15 Mac.
Pengarahnya Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata arahan itu dikeluarkan, semasa Operasi Premis Bersih (OPB) yang dijalankan pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM), bersama-sama sembilan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta dua Pejabat Kesihatan Pintu Masuk (PM) di seluruh negeri.
Beliau berkata pelaksanaan OPB itu bertujuan memastikan premis makanan bebas daripada apa-apa keadaan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan.
“Hasil operasi ini secara keseluruhannya antara Januari hingga Mac (15 Mac), sebanyak 673 premis makanan telah diperiksa dan 42 premis diarahkan tutup kerana urungan LILATI selain mendapat markah rendah.
“Selain itu, sebanyak 462 Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun berjumlah RM287,200, dikeluarkan ke atas semua pemilik premis dan pengendali makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Sha’ari juga menyeru semua pengusaha makanan di Selangor, sentiasa memastikan premis dan produk jualan mematuhi Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dan bijak memilih premis makanan serta boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis kotor atau produk makanan kepada PKD terdekat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau Facebook JKNS,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai