Skip to main
Logo Malaysiakini

JAS arah ladang dikaitkan kerabat Johor berhenti kerja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan sebuah ladang kelapa sawit yang mempunyai pertalian dengan kerabat diraja Johor untuk menghentikan kerja tanah dan perladangan selepas dikatakan membuka tanah tanpa kelulusannya.

Dalam jawapan parlimen semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan jabatan itu mendapati AA Sawit Sdn Bhd telah mula membangunkan ladang di Endau, Johor, tanpa penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang diluluskan.

Syarikat itu telah dikeluarkan perintah berhenti kerja di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan disiasat di bawah Seksyen 34A(6) kerana menjalankan aktiviti yang ditetapkan oleh undang-undang tanpa kelulusan EIA.

"Berdasarkan siasatan, syarikat AA Sawit didapati melanggar Akta 127 dengan memulakan pembangunan ladang kelapa sawit di Endau, Johor tanpa kelulusan laporan EIA.

"Kementerian melalui JAS mengeluarkan Perintah Larangan mengikut Seksyen 34AA, Akta 127 kepada syarikat AA Sawit bagi menghentikan kerja tanah dan kerja berkaitan aktiviti perladangan.

"Selain itu, JAS akan membuka kertas siasatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 34A(6), Akta 127 kepada syarikat sama pernah menjalankan aktiviti ditetapkan tanpa kelulusan laporan EIA," kata Nik Nazmi.

AA Sawit juga dikehendaki mengambil tindakan pembaikan di tapak projek supaya hakisan dan kelodak dapat dikawal serta tidak menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar dan sungai berhampiran, katanya.

Menteri itu menjawab soalan Lee Chean Chung (PH - Petaling Jaya) berhubung penemuan siasatan JAS ke atas syarikat itu.

Sebelum ini, dilaporkan saham syarikat itu dimiliki majoriti oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan anaknya Tunku Ismail Idris.

South China Morning Post melaporkan pada Julai tahun lalu bahawa plot PTD4118 telah dibersihkan beberapa bulan sebelum perunding dikontrak untuk menjalankan EIA, dan diteruskan walaupun perunding tiba untuk meninjau hidupan liar dan sampel air bawah tanah.

Pada masa laporan itu disiapkan dan didedahkan kepada umum awal bulan itu, tapak seluas 3,775 hektar itu telahpun dibersihkan sepenuhnya dan saluran pengairan telah digali.

Menurut laporan itu, Sultan Ibrahim menguasai empat daripada enam petak tanah yang terlibat dalam projek itu - termasuk petak bekas berhutan PTD 4085 dan PTD 4118 - pada April 2018.

Bagaimanapun, laporan tersebut menyatakan pada masa itu bahawa ia tidak pasti sama ada AA Sawit, atau orang lain, yang melakukan pembersihan hutan.

[Baca berita asal]