Skip to main
Logo Malaysiakini

10 jawatankuasa pilihan khas baru diberi lebih kuasa pemantauan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPPK) yang diluluskan Dewan Rakyat semalam memiliki mekanisme pemantauan yang lebih kuat, menurut pakar pembangunan institusi dan parlimen Maha Balakrishnan.

Maha berkata antara sebabnya adalah garis panduan baru berkenaan saksi yang dipanggil jawatankuasa tersebut, yang dirangka sebagai kerjasama antara Dewan Rakyat dan National Democratic Institute.

"Garis panduan seumpama ini wujud di Parlimen negara lain seluruh dunia tetapi tidak pernah dirangka untuk Dewan Rakyat.

"Garis panduan ini sangat penting kerana ia menetapkan kuasa dan autoriti jawatankuasa Dewan Rakyat dan menjelaskan mengapa penjawat awam perlu patuh kepada permintaan untuk hadir ke pendengaran atau menyerahkan bukti kepada jawatankuasa," kata Maha yang merupakan perangka utama garis panduan tersebut, kepada Malaysiakini.

Maha Balakrishnan

Garis panduan itu turut menjelaskan perlindungan yang diberikan kepada saksi, antaranya orang atasan tidak boleh menghukumnya kerana memberi bukti yang benar dan tepat kepada jawatankuasa.

Ia juga menjelaskan proses yang perlu diikut jika sebarang maklumat yang diminta jawatankuasa diklasifikasikan sebagai rahsia atau berkaitan dengan keselamatan negara.

"Semua ini akan menjadikan operasi dan kuasa jawatankuasa lebih jelas, dan diharap dapat mengelak situasi yang pernah berlaku pada masa lalu di mana ada penjawat awam yang enggan mematuhi permintaan jawatankuasa untuk hadir di depan mereka," katanya lagi.

JPPK ini juga diberi terma rujukan yang lebih kuat serta lebih kebebasan.

"Seorang menteri tidak boleh menghalang jawatankuasa daripada menyiasat sesuatu perkara, asalkan ia terletak di bawah skop jawatankuasa itu," kata Maha.

Sepuluh JPPK yang diluluskan semalam ialah:

  • Kewangan dan Ekonomi

  • Kesihatan

  • Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian

  • Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi

  • Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

  • Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat

  • Alam Sekitar, Sains dan Perladangan

  • Keselamatan

  • Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa

  • Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi