Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Di sebalik tirai besi, Najib tetap berpengaruh dalam Umno

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun sedang menjalani hukuman penjara, bekas presiden Umno Najib Razak masih ada pengaruh yang kuat dalam menentukan masa depan parti itu, kata Khairy Jamaluddin.

Menurut bekas ketua pemuda Umno itu, ini terbukti apabila ramai ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu kini adalah "penyokong tegar" Najib.

“Kita telah mendengar dan membaca banyak analisis di media bahawa Zahid (Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi) menguasai Umno.

"Ya, kami bersetuju, nampaknya dia mengawal parti. Tetapi jika kita lihat lebih mendalam, Zahid kuat tetapi MKT terdiri daripada penyokong tegar Bossku," kata bekas menteri kesihatan itu dalam podcast 'Keluar Sekejap' bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan semalam.

Khairy memuat naik sedutan sesi itu di Twitter.

Khairy berkata situasi itu menunjukkan Najib masih memegang kuasa dan pengaruh yang boleh menentukan hala tuju Umno pada masa hadapan walaupun di sebalik tembok penjara.

Dia membangkitkan nama seperti Pengerusi Umno Kelantan merangkap pengerusi Felcra Ahmad Jazlan Yaakub, bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Umno Hulu Langat Johan Abd Aziz, sebagai contoh penyokong Najib yang berjaya membarisi MKT Umno dalam pemilihan Umno baru-baru ini.

'Kisah Bossku masih jauh daripada penamat’

Tambah bekas ahli Parlimen Rembau itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil turut termasuk barisan ahli MKT, bersama seorang lagi penyokong setia Najib iaitu Lokman Adam, yang sebelum ini dipecat daripada Umno oleh Zahid sendiri.

Berdasarkan perkara ini, Khairy menegaskan bahawa perjalanan "Bossku" dalam Umno masih belum berakhir, malah jauh daripada itu.

"Bossku belum selesai, ia adalah satu kuasa yang perlu diperhitungkan. Ada cap jari Bossku dalam MKT.

"Oleh itu, sudah pasti ada jangkaan dalam kalangan penyokong Bossku bahawa sesuatu mesti dilakukan oleh Zahid, dan seterusnya kerajaan, berhubung kesnya,” kata Khairy lagi.

Khairy berkata tanpa mengambil kira hukuman penjara yang sedang dihadapi Najib, bekas perdana menteri itu mempunyai kualiti kepimpinan yang lebih baik berbanding Zahid.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.