Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Bagaimana syarikat dapat status pengecualian cukai?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PANDUANKINI | Pengecualian cukai menjadi perhatian ramai pihak dengan pendedahan berkenaan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary baru-baru ini.

Perkara ini timbul pada 9 Mac lalu, ketika Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendakwa bekas menteri kewangan Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diberi kepada badan itu.

Muhyiddin membuat dakwaan itu selepas memberi keterangan kepada SPRM. Antara isu yang dibangkitkan SPRM adalah tindakannya menerima rayuan Yayasan Albukhary terhadap pembatalan tersebut.

Lim bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim tidak membatalkan sebarang pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sewaktu menjadi menteri kewangan.

Walaupun dengan perhatian yang diberikan terhadap isu ini, masih ramai yang tidak faham sepenuhnya berhubung pengecualian cukai di Malaysia, mahupun undang-undang berkenaannya.

Malaysiakini bercakap dengan beberapa pakar berhubung perkara ini.

Apa peruntukan digunakan untuk memberikan status pengecualian cukai kepada entiti?

Ada beberapa peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 berkenaan pengecualian cukai seperti Seksyen 127(3) 127(3A) dan Seksyen 44(6), menurut peguam cukai S Saravana Kumar.

Dia berkata sebarang arahan menteri untuk memberikan pengecualian cukai di bawah Seksyen 127(3) perlu dibawa ke Parlimen dan diwartakan.

Katanya, menteri juga boleh menggunakan Seksyen 127(3A) untuk memberikan pengecualian mengikut budi bicaranya dan tanpa sebarang syarat.

"Tiada syarat di bawah Seksyen 127(3A). Menteri boleh berikan kepada sesiapa saja yang dia mahu.

"Seksyen ini begitu luas sehingga jika menteri suka anda, dia boleh berikannya kepada anda," katanya.

S Saravana Kumar

Peratusan keuntungan yang dikecualikan daripada cukai juga bergantung kepada budi bicara menteri, katanya lagi.

Bagi syarikat kebajikan atau bukan berlandaskan keuntungan, status pengecualian cukai mereka tertakluk di bawah Seksyen 44(6), yang bukan berada di bawah bidang kuasa menteri.

"Ia di bawah kuasa ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Syarikat perlu memohon dan mendapatkan kelulusan daripada ketua pengarah," katanya.

Saravana berkata menurut Seksyen 44(6), kelulusan ditandatangani oleh ketua pengarah LHDN.

Jika sesebuah syarikat mendapat pengecualian di bawah peruntukan ini, ia secara automatik dikecualikan daripada cukai untuk keseluruhan keuntungannya, katanya lagi.

Semalam, Anwar berkata Yayasan Albukhary milik hartawan Syed Mokhtar Albukhary menerima status pengecualian cukai di bawah Seksyen 44(6).

Syed Mokhtar Albukhary

Justeru, katanya, rekod Kementerian Kewangan menunjukkan Lim ketika menjadi menteri kewangan tidak pernah membatalkan status tersebut seperti didakwa Muhyiddin.

Apa masalah yang mungkin timbul dengan memberi pengecualian mengikut Seksyen 44(6) kepada syarikat bukan berlandaskan keuntungan?

Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai berkata kira-kira emapt dekad lalu, ada kes melibatkan Yayasan Sabah yang membangkitkan pentingnya ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam memberi pengecualian cukai.

Dia yang memberi tumpuan pada isu percukaian dalam penyelidikannya berkata, ketika itu Yayasan sabah memegang banyak syarikat subsidiari yang membuat keuntungan.

"Di bawah model biasa, syarikat di bawah yayasan akan membuat untung dan akan dicukai sebagai sebuah syarikat, kemudian keuntungan selepas cukai akan dibayar sebagai dividen kepada yayasan.

"Yayasan ini menemui jalan keluar, iaitu untuk mendapatkan status pengecualian di bawah Seksyen 44(6), di mana penyumbang dikecualikan daripada membayar cukai untuk sumbangan yang diberi daripada pendapatan mereka.

Barjoyai Bardai

"Jadi sesetengah subsidiari yang membuat untung besar daripada operasi balak dan sebagainya, menyumbangkan keseluruhan keuntungan mereka kepada yayasan. Maka mereka tidak perlu membayar cukai dan yayasan mendapat kesemua keuntungan," kata Barjoyai.

Apa yang telah dibuat sejak itu untuk halang salah guna Seksyen 44(6)?

Selepas insiden itu didedahkan, peraturan berkaitan pengecualian cukai untuk syarikat bukan berasaskan keuntungan telah diperketat, antaranya dengan mengehadkan sumbangan syarikat kepada 10 peratus daripada keuntungan keseluruhan, kata Barjoyai.

Selain itu, yayasan yang dikecualikan cukai hanya boleh menggunakan 25 peratus daripada keuntungan dan dana terkumpul mereka untuk tujuan bukan kebajikan.

"Baki yang lain hanya boleh digunakan untuk kebajikan," katanya lagi.

Selain itu, separuh daripada ahli lembaga pemegang amanah yayasan juga perlu dianggotai "orang luar".

Yayasan juga perlu menyerahkan penyata kewangan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan LHDN setiap tahun.

Jika mereka gagal melakukannya, LHDN boleh membatalkan status pengecualian cukai yang dinikmati mereka pada bila-bila masa, kata Barjoyai lagi.

Apa yang dikira sebagai "tujuan kebajikan"?

Barjoyai berkata LHDN ada garis panduan yang ketat berkenaan "tujuan kebajikan" untuk yayasan yang dikecualikan cukai.

Misalnya, kegiatan kebajikan tidak boleh berkaitan agama dan perlu terbuka kepada umum.

Dia bagaimanapun menjelaskan garis panduan itu tiada bahagian spesifik yang melarang sumbangan politik.

"Inilah masalahnya. ada kala ia tidak menyeluruh dalam menyenaraikan apa yang dibenarkan," katanya.

Namun, kata Barjoyai, ada kes di mana LHDN membatalkan status pengecualian cukai kepada yayasan yang menyumbangkan semua perolehan kepada parti politik.

Jadi bagaimana status pengecualian cukai Yayasan Albukhari menjadi perhatian di tengah dakwaan terhadap Muhyiddin?

Ketika Muhyiddin selesai memberi keterangan kepada SPRM pada 9 Mac lalu, dia memberitahu pemberita bahawa salah satu dakwaan berkenaan keputusannya untuk memberikan pengecualian cukai kepada yayasan itu.

Dia kemudian didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM232.5 juta.

Muhyiddin Yassin

Empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 mendakwa Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu untuk mendapat suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Salah satu syarikat tersebut adalah Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimiliki Syed Mokhtar dan isterinya Sharifah Zarah Syed Kechik. Syed Mokhtar memiliki 99 peratus pegangan dalam syarikat itu.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Dia didakwa menerima RM120 juta menerusi akaun bank Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 hingga 16 Julai 2022.

Dia juga didakwa menerima RM75 juta lagi menerusi akaun bank sama daripada syarikat tersebut antara 8 Februari 2022 hingga 8 Julai 2022.

Rekod syarikat menyatakan Bukhary Equity Sdn Bhd adalah syarikat "pegangan pelaburan" dan beralamat di Kuala Lumpur.

Turut berkongsi alamat tersebut adalah Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Albukhary Foundation dan Perdana Global Peace Foundation.