Korea Selatan, Amerika adakan latihan ketenteraan 'terbesar' Jun ini
Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengadakan latihan ketenteraan "terbesar" pada Jun sempena ulang tahun ke-70 perikatan mereka, lapor media Korea Selatan pada Rabu, memetik kementerian pertahanan.
Latihan itu akan mempamerkan keupayaan ketenteraan dan perpaduan kedua-dua negara di tengah-tengah usaha sama mengukuhkan pertahanan untuk mencegah aktiviti peluru berpandu Korea Utara di rantau itu, lapor Sputnik memetik Agensi Berita Yonhap.
Pihak sekutu akan menggerakkan peralatan ketenteraan berteknologi tinggi termasuk aset tanpa pemandu pada latihan ketenteraan yang dijadual diadakan pada Jun, menurut kementerian itu.
Seoul juga merancang untuk mengadakan sambutan Hari Angkatan Tentera pada September dengan penyertaan Tentera AS di Korea bagi menzahirkan keupayaan pencegahan dan tindak balas "luar biasa" pakatan itu terhadap ancaman Pyongyang, lapor agensi berita itu.
Di samping itu, pada Oktober, kedua-dua pihak berhasrat mengadakan Mesyuarat Perundingan Keselamatan, menyaksikan Korea Selatan dan AS akan menjadi tuan rumah pertemuan pertama dengan Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengesahkan sokongan mereka terhadap keselamatan di Semenanjung Korea.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai