Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Buli: 'Ringan-ringan' tak apa, lama-lama jadi bala

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PULASAN | "Tak apalah," kata seorang ibu - atau bapa, lantaklah biar pun siapa - mengenai anaknya yang memasuki asrama pada hari pertama persekolahan penggal baru minggu ini, "biarlah anak-anak belajar berdikari, susah sikit tak apa."

Memang sudah ada banyak pantang larang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah biasanya. Antara lain ia dibuat demi memastikan kelancaran operasi apa-apa saja hal yang berkaitan.

Diyakini sekolah tidaklah menyimpan sebarang niat buruk atau perangkap. Sebuah sekolah yang waras ialah sebuah tempat anak-anak belajar dengan tenang, selamat dan teduh.

Pada masa sama, mesti difahami seorang ibu atau bapa yang waras juga ialah ibu atau bapa yang tidak pernah mahukan anak-anak mereka dirosakkan masa depannya oleh apa pun jua, khususnya di sekolah.

Kemudian datanglah masa untuk memaksa diri agar berdamai dengan keadaan. Ketika itu juga anak-anak yang masih mentah itu dibiarkan bergelut dengan realiti hidup yang kadang-kadang kejamnya boleh dielakkan.

Sekarang memang amat jarang kita mendengar insiden buli melampau seperti suatu ketika dulu. Ia adalah suatu suasana pembelajaran yang melegakan, namun ia tidaklah sepenuhnya.

Di sana sini masih ada buli yang 'ringan-ringan' yang - kita bersyukur kerananya - dikekang dengan sebaik mungkin oleh pihak sekolah. Ia termasuklah pelajar baru/junior yang menjadi orang suruhan kepada pelajar senior.

Kerana kami pernah kena

Tidaklah semuanya menjadi mangsa dan pemangsa, tetapi malangnya ia "ada" ketika peraturan sekolah melarangnya. Ia "ada" secara diam-diam, terancang dan - malangnya - kejam.

Lebih malang ialah apabila ibu bapa - sudah tentu bukan semua - menganggapnya sebagai perkara biasa dan merelakan ia berlangsung secara berpanjangan selagi "tidak melibatkan fizikal".

Sesetengah ibu bapa terbabit merelakan anak-anak terbabit menjadi 'hamba' kepada senior atas alasan mahu mereka menjadi kuat menghadapi cabaran pada masa depan.

Kononnya mereka mahu anak-anak terbabit 'kuat' untuk berjaya selepas menamatkan persekolahan melalui tarbiah asrama yang kadang-kadang penuh dengan manipulasi.

Ia menjadi halal kerana "kami dah pernah kena dulu, maka kamu juga harus mengalaminya" sebagai syarat menjadi dewasa.

Tidaklah dipedulikan sama sekali oleh mereka gamaknya bagaimana kesan trauma hidup dalam serba ketakutan semasa di asrama apabila kebebasan selalu tersekat oleh kehendak senior.

Dalam keadaan begitu, bolehlah ditanyakan: tidak ada rasa bersalahkan memangsakan anak-anak demi memuaskan hati dan perasaan ibu bapa yang mahu melihat zuriat masing-masing 'berjaya' walaupun perasaan mereka memendam rasa sedih, cedera dan kebencian yang lama?

Anak-anak itu membawa rasa dendam yang dalam semasa meningkat dewasa. Ia seakan-akan menekan belon sarat berisi udara ke dalam air dan ia hanya menunggu masa untuk meledak.

Sementara menunggu detik itu mereka melepaskan dendam tersebut ke atas pelajar lain. Biasanya apabila mereka meningkat menjadi senior, atau ketika ada pelajar baru memasuki asrama.

Dari sisi lain ada kemungkinan ibu bapa terbabit sebenarnya adalah hasil produk buli terdahulu, sama ada semasa belajar, ketika baru memulakan kerjaya atau selepas memulakan tugas di tempat baru.

Amalan itu sepatutnya boleh dihentikan dengan sedikit sifat cakna tetapi ia menjadi malang yang sukar dimaafkan jika seseorang itu memilih untuk berdiam diri atas alasan mahu membiarkan anak-anak menjadi 'kuat'.

Ada dalam 'neraka kecil'

Tanpa disedari ibu bapa yang sebegitu sebenarnya seakan-akan membalas dendam atas tekanan dan buli yang dikenakan ke atas mereka pada anak masing-masing.

Lalu amat luculah apabila kemudian kita pun berharap negara ini ada masa depan yang cerah di tangan generasi muda.

Buli bukan hanya berlaku di sekolah.

Sudah tentu kita tidak boleh melupakan bagaimana teruk dan jerihnya sesetengah doktor muda menjadi mangsa keganasan doktor yang senior, kan? Maka jangan hairan jika ada ibu atau bapa yang bertugas sebagai doktor merelakan anak-anak mereka disuruh itu dan ini oleh senior di asrama.

Maksudnya buli ini tidak hanya terhad kepada golongan tertentu saja, malah individu yang dianggap lebih pintar berbanding orang lain juga boleh menjadi manusia yang 'tempang' jiwanya kerana kita bersama-sama menerima budaya buli sebagai sebahagian daripada proses menjadi dewasa.

Ibu bapa berasa mereka membesarkan anak-anak di asrama agar mampu berdikari dan bersikap denial untuk mengakui mereka sebenarnya menempatkan zuriat masing-masing dalam 'neraka kecil' saja.

Namun itu bukanlah khabar terburuk untuk kita. Realiti yang lebih pahit daripada itu ialah kebimbangan paling besar di jiwa anak-anak asrama bukanlah menjadi mangsa buli sebaliknya kemungkinan kesan daripada aduan yang dibuat kepada pihak sekolah.

Mungkin pengadu tidak akan dipukul, dibelasah atau seumpamanya namun berdepan dipulaukan oleh rakan-rakan, diejek melampau dan difitnah sudah cukup menjadikan sekolah serta asrama menjadi tempat yang amat menyeksakan.

Pada masa sama, ramai juga ibu bapa yang terpaksa mendiamkan penderaan tersebut kerana bimbang anak masing-masing akan menerima kesan negatif daripada banyak pihak.

Sekolah mungkin tak lagi selamat

Dalam keadaan begitu, kita wajar bertanya: ketika ibu bapa berdiam diri atas kesengsaraan anak-anak, nafsu siapa yang sedang mahu dipuaskan sebenarnya? Adakah demi masa depan anak-anak, atau untuk kebanggaan ibu bapa yang mementingkan diri sendiri sambil berangan-angan kononnya anak mereka berjaya.

Sedarkah anda bahawa biasanya setiap kali bermula sesi persekolahan banyak kelengkapan di situ rosak atau tidak boleh digunakan? Mungkin ada pelajar yang tidak bertanggungjawab sengaja merosakkan kemudahan tersebut, khususnya melibatkan mereka yang akan meninggalkan bangku persekolahan.

"Sebenarnya perbuatan sengaja merosakkan sekolah tu berlaku sebab budak-budak rasa sekolah adalah penjara," kata seorang bapa baru-baru ini.

Benar. Sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat buat anak-anak kita. Namun selagi keadaan yang kadang-kadang didiamkan atau disorokkan ini tidak diatasi, sekolah bukanlah tempat yang selamat.

Ia kemudian akan berlaku berulang-ulang saban tahun. Jangan tak tahu - dengan sikap "tak apa" pada insiden-insiden kecil pada puluhan tahun dulu itulah kita akhirnya kini dibelenggu masalah rasuah yang sangat berleluasa lagi menjijikkan.

Alangkah laknat dan terkutuknya kita jika masih enggan menamatkan kitaran buli yang amat durjana ini.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang yakin tidak ada timbalan perdana menteri yang mahu kesipuan apabila sekolah di kawasannya terlibat dalam kegiatan buli.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.