Isu import telur: Lee gesa polis siasat 2 panggilan diterimanya
Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dua panggilan telefon yang diterimanya berkaitan dengan "isu telur" melibatkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dan pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd.
Wee berkata dia membuat laporan polis ibu pejabat polis daerah (IPD) Cheras pada jam 1 pagi, semalam.
"Sebelum ini, pada 17 Mac, saya mencabar Deepak Jaikishan agar membuat laporan polis selepas dia menafikan pernah menelefon say sebanyak dua kali, iaitu masing-masing pada jam 9.51 pagi dan 9.52 pagi, 13 Mac 2023.
"Saya memberi Deepak tiga hari untuk berbuat demikian. Memandangkan Deepak Jaikishan tidak membuat laporan polis, maka saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis seperti mana yang saya janjikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam mendakwa Deepak menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) supaya dia membetulkan kenyataannya berhubung isu import telur dari India.
"Saya tidak mahu mana-mana individu menggunakan nama PMO untuk melakukan tindakan yang tidak senonoh dan berbaur ugutan, apatah lagi terhadap mana-mana ahli Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti berucap di dalam Dewan Rakyat seperti termaktub dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang bentuk penyalahgunaan nama PMO amatlah dikesali. Justeru, saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini," katanya lagi.
Terdahulu, Deepak menafikan ada membuat panggilan telefon namun Wee kemudian menunjukkan tangkap layar ID pemanggil dengan semakan melalui aplikasi Truecaller untuk menyokong dakwaannya.
Ketika itu, dia mencabar Deepak agar membuat laporan polis jika ada orang lain yang menyamar sebagai dirinya.
Keesokannya, syarikat J&E Advanced Tech Sdn Bhd mengakui ada menghubungi Wee dan meminta dia menarik balik kenyataannya.
Pada 22 Februari lalu, Wee ketika berbahas di Dewan Rakyat berkata kerajaan seharusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi pengeluar telur tempatan dan bukannya mengimport telur dari India - yang menurutnya lebih mahal dan kecil.
J&E Advanced Tech adalah satu-satunya syarikat yang mendapat kebenaran untuk mengimport telur dari India ketika negara berdepan kekurangan bekalan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai