Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk mahu pampasan - gajah musnah tanaman, kubur

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penduduk dua perkampungan Orang Asli di Gua Musang memohon pampasan kerana kehilangan mata pencarian selepas tanaman mereka dimusnahkan gajah di kampung mereka bulan lepas.

Gajah berkenaan memusnahkan padi dan tanaman lain di Kampung Sedal dan Kampung Penad di Pos Simpor, kata Setiausaha Jaringan Wilayah Pos Simpor, Hamdan Ading (gambar, bawah).

Padi itu bertujuan untuk menyara kehidupan penduduk kampung selama setahun, kata Hamdan, yang juga penduduk Kampung Sedal.

Gajah itu juga mengganggu kubur dan memusnahkan rumah, semasa kejadian pada 20 Feb.

"Semua yang kami dapat hanya bantuan daripada pihak Jakoa berupa sekampit beras dan juga barang bakul.

"Jadi bantuan itu tidak cukup memadai hidup kami untuk kegunaan kami, makanan kami selama satu tahun.

"Dalam satu ke dua hari mungkin boleh cukuplah mungkin boleh menampung. Kalau anak kami ramai memang tak cukup," katanya pada satu kenyataan.

"Tuntutan kami sekarang adalah kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) supaya membayar ganti rugi seperti berbentuk wang ringgit ataupun benih pokok ini yang dimusnahkan seperti pokok getah, durian dan serai.

"Harapan kami kepada pihak Perhilitan supaya mereka menangkap gajah-gajah tersebut dan meletakkannya di satu tempat yang selamat supaya gajah-gajah tersebut tidak lagi mengganggu dan musnahkan tanaman serta kehidupan kami di kampung," katanya lagi.

Hamdan berkata serbuan gajah itu merupakan kejadian baru di kampung-kampung Orang Asli dan tidak pernah berlaku sejak 1960-an.

"Kami menggesa kementerian mengambil langkah yang relevan untuk membantu kami, kerana kami telah kehilangan pendapatan selama setahun kerana gajah liar," katanya.


BACA BERRKAITAN:

Konflik dan hutan: Badak sumbu dah pupus, haiwan lain pun bakal lenyap?


Konflik manusia-gajah semakin meningkat, sebahagian besarnya berpunca akibat penebangan hutan.

Pemecahan hutan yang berlaku apabila bahagian hutan ditukar kepada guna tanah lain, memaksa gajah menukar laluan rayau menyebabkan hidupan liar itu berkonflik dengan manusia.

Pada Januari lalu, seorang remaja Orang Asli mati dipijak gajah di Pos Sinderut, Pahang, beberapa minggu selepas seorang wanita Orang Asli maut apabila terserempak gajah di kampung berhampiran.

Gajah liar jantan yang dikatakan berasal dari Hutan Simpan Ulu Jelai itu kemudiannya ditangkap oleh Perhilitan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor membangkitkan soal pampasan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat konflik manusia-gajah semasa perbahasan parlimen pada 9 Mac lalu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menjawab bahawa kementeriannya sedang membincangkan kemungkinan memberi bantuan saguhati kepada mereka yang terjejas oleh gajah liar yang memasuki kampung mereka dan bukannya pampasan penuh atas kerugian.

Tidak jelas apakah peruntukan yang wujud untuk membayar pampasan kepada mereka yang mengalami kerugian ekonomi akibat konflik manusia-hidupan liar.

Bagaimanapun, mereka yang mengalami kecederaan boleh mendapatkan pampasan sekurang-kurangnya RM200, daripada Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas, yang ditadbir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bayaran maksimum RM20,000 perlu dibayar apabila melibatkan kematian atau hilang upaya kekal.