Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf: Cadangan wujudkan MRSM berbayar di peringkat kajian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cadangan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar untuk golongan berkemampuan masih di peringkat kajian, Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menjelaskan cadangan tersebut bukanlah perkara baru dan ia bagi memenuhi permintaan kemasukan ke MRSM yang cukup tinggi.

"Idea MRSM berbayar bukan idea baru. Ia sudah pun di dalam kajian dan apabila saya melihat bahawa tuntutan dan harapan masyarakat kepada MRSM terlalu tinggi.

"Tahun ini sahaja 90,000 yang memohon (ke MRSM), tempatnya (kekosongan) 7,100.

"Apa pun, matlamat MARA kita jaga. Sebab itu kita pastikan ada sekurang-kurangnya 60 peratus (pelajar) dalam kalangan B40 dan selebihnya ada tambahan untuk golongan M40 dan T20," katanya dalam sesi soal jawab bersama media dan majlis berbuka puasa di ibu negara, hari ini.

MRSM Kuantan pada 1975

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan MRSM berbayar kepada golongan berkemampuan - jika ia dilaksanakan - tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan.

Ahmad Zahid yang yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan yang sedang dirangka Mara itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Ahmad Zahid juga memberi jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk manfaat golongan miskin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar adalah agar pelajarnya tidak terpisah dengan realiti masyarakat.

"Sebab apa yang paling penting kita tak mahu anak-anak kita ini berada di sekolah yang terpisah daripada realiti masyarakat sebenar.

"Realiti kehidupan di luar, kita bukan sahaja hidup dalam kalangan B40 sahaja, M40 sahaja atau pun T20 sahaja," katanya.

Dalam pada itu Asyraf turut menafikan dakwaan yang menyatakan MRSM kini dikuasai oleh golongan elit.

"Untuk menjawab sesetengah persepsi nakal yang mengatakan seolah-olah MRSM hari ini didominasi oleh golongan elit, golongan kaya T20, itu tidak benar.

"Saya membuat kenyataan berasaskan data yang ada dalam MRSM dan juga di bahagian pendidikan menengah," katanya lagi.