Pakar ekonomi tegur lantikan Asyraf Wajdi jadi pengerusi Mara
Pakar ekonomi politik Profesor Dr Edmund Terence Gomez menyuarakan kebimbangannya berhubung pelantikan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baru.
Menyifatkan pelantikan bekas Ketua Pemuda Umno itu sebagai "salah", Gomez turut mempersoalkan sama ada ia bermotifkan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Kamu tidak boleh ambil ahli politik Umno dan letakkan mereka dalam salah satu GLC terpenting di negara ini.
"GLC ini haruslan mempunyai akar yang penting hingga ke akar umbi dan dengan pilihan raya negeri yang akan datang, ini menimbulkan tanda-tanda amaran sama ada ini dilakukan dengan niat baik atau ia dilakukan kerana sebab politik," katanya pada forum bertajuk 'Rasuah sebagai Masalah Ekonomi' di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, hari ini.
Pelantikan Asyraf berkuat kuasa pada 10 Mac, dan diumumkan oleh timbalan perdana menteri dan juga presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dua hari kemudian.
Asyraf Wajdi, 47, yang juga Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Sebelum ini, jawatan Pengerusi Mara disandang Azizah Muhd Dun sejak 1 Mei 2020 dan beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort.
Mara adalah sebuah agensi di bawah kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang turut diterajui oleh Zahid.
Sementara itu, Gomez menegaskan lantikan politik dalam GLC adalah satu ruang untuk salah guna kuasa.
Pada masa sama dia mempersoalkan jika ia juga boleh dilihat sebagai amalan korupsi, memandangkang tiada perundangan yang dapat digunakan sebagai asas untuk menanganinya.
"Perlu ada penilaian yang wajar terhadap keseluruhan sistem GLC di mana syor-syor yang sesuai dikemukakan. Mengapa kita belum bergerak ke arah ini?" soalnya.
Namun Gomez mengakui pelantikan politik boleh dipertimbang untuk sesetengah GLC, termasuk Khazanah Nasional Berhad.
Jawatan pengerusi Khazanah Nasional biasanya dipegang perdana menteri. Anwar Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai pengerusinya pada 3 Jan lalu.
Antara lantikan politik lain ke dalam GLC mutakhir ini antaranya Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra Berhad dan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai