ULASAN | Analisis PRU15: Benarkah gelombang hijau kaut undi Melayu? - Bahagian 7
ULASAN | Isu yang paling menjadi pertikaian tentang keputusan PRU15, adalah gabungan manakah yang memenangi majoriti undi orang Melayu.
Artikel ketujuh dan yang terakhir dalam siri undian etnik ini melihat corak undian orang Melayu dalam PRU15. Ia memfokuskan Semenanjung Malaysia.
Namun, kesimpulannya menyentuh corak undian Melayu di peringkat nasional, termasuk dapatan dari Sabah dan Sarawak.
Analisis menunjukkan dengan jelas bahawa Perikatan Nasional (PN) memenangi kebanyakan sokongan orang Melayu, manakala Pakatan Harapan (PH) dan Umno mula kehilangan tapak sokongan di kalangan etnik berkenaan.
Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan jumlah kerusi dimenangi kedua-dua PAS dan Bersatu yang bertambah, sebagai parti yang memenangi persaingan di kawasan Melayu.
Harus diambil perhatian, dapatan untuk analisis mikro pusat mengundi hanya sedikit berbeza dari analisis makro terdahulu saya pada November lalu, menguatkan lagi kenyataan betapa Malaysia ini sangat berpecah-pecah dan peralihan sokongan berimpak tinggi berlaku dalam komuniti Melayu pada PRU15.
Undi Melayu: Variasi dan tafsiran semula
Analisis menemukan lima corak penting:
Pertama, terdapat agak banyak variasi antara negeri dan kerusi dalam sokongan Melayu. Kekuatan calon/penyandang dan kawalan kerajaan negeri memang mempunyai impak ke atas corak pengundian Melayu. Namun, tiada satu corak undian seragam yang boleh mewakili semua komuniti Melayu di seluruh Malaysia.
Kedua, komuniti Melayu kekal terpecah-belah. Bahkan, corak undian menunjukkan bahawa komuniti Melayu sebenarnya terdiri dari banyak komuniti. Pemerhatian ini berulang kali dianjurkan oleh para sarjana.
Dari sudut sejarah, orang Melayu telah lama berpecah-belah dalam pilihan raya dan keputusan PRU15 mengulangi trend ini. Apa yang berbezanya kali ini adalah keseimbangan undi di kalangan parti Melayu telah berubah.
Ketiga, peralihan sokongan Melayu sama-sama disumbangkan oleh kemerosotan daya tarikan PH di kalangan orang Melayu serta kejatuhan Umno.
Meskipun ramai yang menarik perhatian kepada ‘PAS’ sebagai faktor tarikan, Gelombang Hijau bilamana parti itu dipercayai menarik undi golongan konservatif dalam masyarakat yang lebih konservatif, data menunjukkan faktor kelemahan daya tarikan PH dan Umno dalam memikat undi orang Melayu tidak kurang pentingnya.
PAS telah lama menerima manfaat dari kedudukannya sebagai pembangkang, bertindak selaku parti yang menangkap rasa tidak puas hati rakyat.
Parti Islamis itu menarik rasa tidak puas hati rakyat yang agak besar, yang juga boleh dilihat sebagai hasil daripada dinamik faktor pendorong dan penolak.
Analisis mencadangkan, gelombang hijau tersebut, paling banyak pun berlaku pada kadar yang terhad, memandangkan peralihan sokongan Melayu turut berkait dengan pelbagai tarikan gabungan dan parti lain selain PAS.
Keempat, analisis mendapati parti-parti berbeza mencatatkan tahap sokongan berbeza dari pengundi Melayu pada PRU15, namun variasi ini berlaku pada kadar minimum untuk parti PH/Muda dan lebih ketara di kalangan parti-parti dalam PN.
Akhir sekali, dari dua parti PN, PAS jelas memenangi lebih banyak sokongan orang Melayu di kerusi-kerusi yang mereka tandingi berbanding Bersatu.
Peningkatan ini tertumpu terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir mereka.
Pun begitu, dari dua parti PN ini, Bersatu turut menyaksikan peningkatan serupa, mempertahankan kedudukannya dan menguatkan pandangan bahawa sememangnya faktor ‘Abah’ memainkan peranan pada PRU15.
Bersatu muncul sebagai pemain politik nasional yang berdiri atas kaki sendiri, berjaya mencapai apa yang dihajati bekas pemimpinnya sebelum ini – Mahathir – iaitu untuk menjadi pengganti Umno – sekurang-kurangnya buat masa ini.
Kemajmukan orang Melayu: Keuntungan PN
Sebelum memperincikan hasil analisis, adalah penting untuk menegaskan sekali lagi peringatan sebelum ini.
Pertama, dapatan adalah anggaran statistik dari keputusan pusat mengundi. Ia memberi gambaran tentang pola/corak berbanding angka sebenar.
Kedua, pilihan raya sudah berakhir empat bulan lalu. Anggaran hasil pengundian PRU15 bukanlah petunjuk tahap sokongan sekarang untuk gabungan-gabungan atau untuk kerajaan semasa.
Mari lihat keputusannya. PN memenangi majoriti undi Melayu di Semenanjung Malaysia, pada anggaran 54 peratus. Ini diikuti Umno pada 32 peratus, dan PH pula meraih 13 peratus undi Melayu.
Variasi antara negeri adalah signifikan. PN menunjukkan prestasi yang sangat bagus di negeri-negeri ditadbirnya – Kedah pada anggaran 67 peratus, Kelantan 66 peratus dan Terengganu 63 peratus.
Hanya tiga negeri – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang menunjukkan PN tidak dapat memenangi undi majoriti Melayu, sebahagian besarnya disebabkan kekuatan Umno di negeri-negeri berkenaan.
Umno hilang kedudukan sebagai pemenang undi Melayu. Kemerosotan Umno dalam sokongan Melayu telah berlaku sejak 2008 lagi.
Prestasi parti itu adalah paling lemah di Kedah, pada anggaran 21 peratus, diikuti Perlis pada 26 peratus dan Kelantan pada 27 peratus.
Umno mempertahankan kubu sokongan politiknya di Johor pada anggaran 45 peratus, Melaka 43 peratus, Negeri Sembilan 45 peratus dan Pahang pada angka 42 peratus.
Sokongan yang pelbagai terhadap Umno turut berkait rapat dengan kawasan di mana parti itu memiliki pangkalan sokongan yang kuat serta di mana ia mentadbir kerajaan negeri (kecuali Perlis).
Dapatan menunjukkan Umno masih kekal kuat di sebahagian kawasan utama orang Melayu, walaupun PN memenangi sokongan lebih tinggi di hampir semua negeri.
PH menerima sokongan orang Melayu yang paling rendah di Semenanjung. Sokongan tertinggi diraih PH adalah di negeri-negeri ditadbirnya, khususnya PKR, dengan Selangor mencatatkan anggaran sokongan 23 peratus, dan Negeri Sembilan 19 peratus.
Sokongan Melayu adalah lebih rendah di Pulau Pinang di mana DAP menerajui kerajaan negeri, pada kadar 12 peratus.
Sokongan Melayu yang paling rendah buat PH adalah di Terengganu pada kadar 3 peratus sahaja, Kelantan 6 peratus, Pahang 8 peratus dan Kedah 9 peratus.
Sokongan Melayu merosot atau bertambah?
Variasi antara negeri semakin jelas terlihat di beberapa kerusi, di mana calon bertanding turut menjadi faktor mempengaruhi. Pemimpin utama Umno, contohnya, memenangi sokongan Melayu yang lebih tinggi berbanding purata sokongan buat parti, seperti Zahid di Bagan Datuk yang memenangi 53 peratus sokongan dan Johari Ghani di Titiwangsa dengan 51 peratus.
Begitu juga halnya dengan pemimpin PN apabila Muhyiddin Yassin memenangi lebih banyak sokongan Melayu di Pagoh pada kadar anggaran 63 peratus.
Peralihan sokongan Melayu pada PRU15 berbanding PRU14 tidaklah teragih rata antara gabungan dan parti. Sementara sokongan pengundi muda adalah penting memandangkan peratusannya yang lebih tinggi dalam daftar pengundi (akan disentuh dalam siri analisis undian akan datang yang melihat pada corak sosio-ekonomi lain), data menunjukkan PH kehilangan anggaran 11 peratus sokongan pengundi Melayu, sementara Umno kehilangan 12 peratus, iaitu peratusan yang hampir sama.
Peningkatan sokongan PN datangnya apabila ia dapat memenangi sokongan kedua-dua penyokong PH dan BN.
*Parti baru MUDA
Variasi ini lebih ketara antara parti. DAP hilang paling banyak sokongan Melayu, pada anggaran 20 peratu. Melihatkan serangan ke atas parti itu yang memuncak dari 2018-2020, kemerosotan sokongan ini tidaklah mengejutkan.
PKR turut hilang sokongan sebanyak 16 peratus, dengan Amanah hilang sebanyak 10 peratus anggaran sokongan.
Parti-parti PH dan sekutunya Muda menunjukkan prestasi yang hampir sama. Angka dicatat Amanah sedikit lebih rendah memandangkan prestasinya yang lemah di kalangan pengundi Melayu di Pantai Timur Semenanjung.
Namun, jika melihat secara umum pada corak sokongan parti secara keseluruhan di Semenanjung, tahap sokongan PH/Muda adalah pada dasarnya sama sahaja.
Tetapi lain pula kesnya buat PN. Sokongan pengundi Melayu buat PAS adalah paling tinggi antara parti-parti Melayu, pada kadar 59 peratus, peningkatan sebanyak 27 peratus di kerusi-kerusi ditandinginya.
Rakan kongsinya dalam PN, Bersatu pula menang anggaran 48 peratus undi Melayu di kerusi ditandinginya, meningkat sebanyak 28 peratus.
Kedua-dua rakan dalam PN ini menunjukkan prestasi baik di kalangan pengundi Melayu, dan ia menunjukkan kekuatan kempen mereka, yang mana ‘faktor Abah’ menjadi penarik buat ramai pengundi Melayu.
Dapatan menunjukkan Bersatu adalah parti penting yang mandiri, dalam kalangan komuniti Melayu.
Melihat semula gelombang hijau
Keputusan undian etnik menuntut penilaian semula tentang apa yang berlaku semasa PRU15. Saya berpendapat faktor pendorong dan penolak (push and pull) yang memainkan peranan.
Menyifatkan keputusan PRU15 sebagai hasil ‘gelombang hijau’ semata-mata adalah kenyataan yang melebih-lebih dan keterlaluan.
Pertamanya, keputusan PRU15 dibentuk oleh naratif etno-agama perkauman serta serangan-serangan sejak 2018.
Kemerosotan sokongan PH berkait rapat dengan serangan tanpa henti ke atas gabungan ini selepas ia berkuasa. Meskipun parti-parti PH berkempen secara berasingan dengan berkesan – PKR membuat kempen asing di lapangan – gabungan itu dan sekutunya menunjukkan prestasi serupa.
Isu penyisihan, rasa tidak selamat yang dimainkan dengan hebat dalam kempen PRU15, mendorong ramai pengundi Melayu keluar mengundi dan menyumbang kepada peningkatan sokongan kepada PN di kerusi-kerusi dipegang PH seperti di Kuantan dan Permatang Pauh.
Matlamat untuk mencemarkan imej PH dalam mewakili orang Melayu berkait rapat dengan permainan teratur politik identiti untuk seteru mereka kembali berkuasa.
Ironinya, sementara Najib dari Umno yang awalnya mengetuai strategi sebegini pada 2018, yang merangkul manfaat dari strategi etno-agama perkauman ini adalah PAS dan Bersatu.
Bukanlah suatu kebetulan apabila pola serupa dalam insiden dan retorik perkauman berulang lagi dalam tempoh sebelum pilihan raya negeri ini.
Keduanya, corak undian Melayu berhubung-kait dengan kemerosotan Umno, prestasi menjunam kepada hanya 26 kerusi.
Kemerosotan ini bermula lama sebelum PRU15, namun keputusan-keputusan kempen oleh Zahid memburukkan lagi keadaan.
Petunjuk paling ketara dalam hal ini adalah peralihan sokongan yang berlaku di Perlis – percaturan makan tuan bagi Umno.
Kelemahan Umno di Kedah dan Kelantan adalah jelas dengan sokongan Melayu yang rendah, di mana pergaduhan dalaman parti serta kurangya muka baru dalam kepemimpinan begitu ketara sekali.
Harus diingat bahawa separuh dari sokongan dinikmati PN datangnya dari prestasi buruk Umno dalam PRU15. Separuh lagi datang dari PH.
Ketiganya, kita perlu merungkai sokongan PN. PAS memang mencatat peningkatan ketara dalam jumlah kerusi dan agihan sokongan Melayu, justeru memang terbukti berlakunya sokongan ‘hijau’ yang lebih kuat.
PAS memenangi undi Melayu pada kadar 11 peratus lebih tinggi dari Bersatu. Namun, data menunjukkan sokongan PAS adalah paling kuat di negeri-negeri ditadbirnya. PAS menggunakan sumber negeri untuk kekal berkuasa, tambahan kepada sumber PN yang memang sedia bagus dalam PRU15.
Kejayaan di Terengganu dan Kelantan sebelum PRU15 menunjukkan kecekapan parti dalam mempertahankan kerajaan dan mempergunakan manfaat pilihan raya yang diperoleh dari strategi bersekutu dengan parti lain.
Walaupun sumbangan PAS kepada peningkatan sokongan PN tidak boleh dipandang enteng – mobilisasi pengundi menerusi daya tarikan kepada pengundi konservatif Islam, jentera, rangkaian sosial dan retorik perkauman – namun ia tidak harus dilihat sebagai satu-satunya faktor yang membentuk keputusan PRU15.
Yang terakhirnya, melihatkan prestasi kukuh Bersatu, parti itu ada senjata dalam kempennya. Ia bukanlah sekadar wang ringgit.
Kejayaan PH pada 2018 dibentuk oleh Dr Mahathir Mohamad. Begitu jugalah, kejayaan PN pada 2022 pula dibentuk oleh tarikan ‘Abah’ Muhyiddin.
Dengan Langkah Sheraton, Bersatu melemahkan imej Umno sebagai pejuang bangsa Melayu, apabila Muhyiddin pula yang mendapat julukan sebagai ‘pelindung’ Melayu, meraih sokongan selepas naratif perkauman yang mendakwa Melayu tersisih dari kuasa selepas Umno kalah pada 2018.
Fokus Muhyiddin pada perlindungan ekonomi dan sosial ketika dia menjadi perdana menteri turut menguatkan sokongan terhadapnya di kalangan orang Melayu yang teruk terkesan oleh Covid-19.
Dalam hal ini, keputusan PRU15 dibentuk oleh tadbir urus dan keadaan yang terbit dari pandemik berkenaan, yang menyerlahkan kesusahan dihadapi ramai orang Melayu dan menjadikan naratif penyisihan semakin menonjol.
Pecah dan dinamik
Dapatan mengesahkan bahawa politik orang Melayu kekal amat sengit dan sedang berubah. Peralihan sokongan pada PRU15 dibentuk oleh keadaan sebelum pilihan raya dan semasa kempen itu sendiri.
Bergerak ke hadapan, undi orang Melayu akan lebih terkesan dengan perkembangan selepas PRU15 dan prestasi kerajaan Anwar Ibrahim.
Mungkin ada yang mahu menggunakan dapatan kajian ini untuk membuat dakwaan berkenaan keabsahan politik mereka. Itu adalah satu kesilapan.
Sebaliknya, siri undian etnik PRU15 ini menguatkan lagi kenyataan bahawa sokongan berasaskan etnik di kalangan komuniti adalah dinamik, kerana orang Melayu mencari wakil yang dapat memenuhi keperluan dan menangani kebimbangan mereka.
Melihat pada undian Melayu di Malaysia secara keseluruhan, termasuk di Borneo – tiada satu parti pun memiliki majoriti jelas sokongan Melayu.
Seperti yang ditunjukkan dalam dua artikel sebelum ini (pautan di bawah) undi orang Melayu di Sarawak dan Sabah dimenangi terutamanya oleh parti-parti yang berpangkalan di Borneo dengan GPS memenangi anggaran 78 peratus sokongan Melayu/Melanau dan pelbagai parti/gabungan di Sabah memenangi sokongan Melayu, seperti Warisan dengan anggaran 32 peratus dan GRS/BN pula 52 peratus.
BACA BERKAITAN:
ULASAN | Undian etnik PRU15 – Siri 5: Peralihan pilihan raya di S'wak
ULASAN | Analisis undi etnik PRU15 - Bahagian 6: Undi di Sabah
Undian orang Melayu terpecah-pecah pada PRU15. Di peringkat nasional, hampir separuh dimenangi PN, dengan sokongan majoriti hanya dari Semenanjung Malaysia.
Paling penting, kerajaan Anwar, dengan Umno, GPS, GRS, Warisan dan PH secara kolektif memenangi lagi separuh sokongan Melayu. Tidak seperti PN, kerajaan Anwar turut memenangi sokongan dari komuniti etnik lain juga.
Bagi semua gabungan, dapatan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sokongan, untuk mendekati semua komuniti, dan mengambil kira perbezaan antara pengundi Melayu dalam cara mereka mengundi, di dalam komuniti.
Di sini, sudut pandang lain – undian generasi, perbezaan kelas, jantina dan perbezaan bandar-luar bandar – akan memberikan pemahaman lebih mendalam. Sudut pandang ini akan dibangunkan dalam siaran akan datang.
Buat masa ini, apa yang penting dalam polarisasi etnik nasional, faktor yang menyerlah adalah pelbagai peralihan sokongan dan pengundi yang terpecah-pecah mengikut etnik.
Terima kasih kerana membaca siri ini, dan terima kasih buat Malaysiakini atas kerja keras mereka untuk menyunting dan menterjemah artikel-artikel ini dalam usaha memahami perubahan politik Malaysia dengan lebih mendalam lagi.
BACA BERKAITAN:
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 1
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 2: Siapa keluar mengundi?
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 3: Kuasa undi kaum India
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 4: Kutub pengundi Cina
BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai