Zahid: Melaka mungkin bentuk Kerajaan Perpaduan
Melaka mungkin akan menyaksikan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam, di Jasin semalam, beliau yang juga presiden Umno berkata ia adalah selaras dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Insya-Allah di negeri Melaka belum terbentuk kerajaan (perpaduan yang) Madani… tapi ke arah itu di Melaka,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN.
BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini diikuti dengan Pakatan Harapan dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional dengan dua kerusi.
Sulaiman, yang juga Adun Lendu, dilantik sebagai ketua menteri berikutan "Langkah Sheraton" pada Mac 2020.
Dia mengekalkan jawatan itu apabila BN memenangi pilihan raya negeri Melaka pada 2021.
Zahid berkata perubahan landskap politik negara itu juga akan dapat disaksikan di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyampaikan sumbangan kepada lapan buah pusat tahfiz berserta duit raya.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian geran daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM60,000 kepada lima penerima.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai