Skip to main
Logo Malaysiakini

PM minta AGC kaji penubuhan badan bebas siasat semua pihak berkuasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji semula cadangan untuk menubuhkan badan bebas bagi menyiasat aduan atau tuduhan yang melibatkan pihak penguatkuasaan.

Sebagai menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara), Anwar menyentuh isu Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dipertikaikan oleh pihak polis, di mana akta itu seolah-olah hanya mensasarkan kepada mereka.

“Cuma saya nak tekankan di sini, bila timbul isu IPCMC tu, yang dipertikaikan oleh pihak polis kenapa (IPCMC) ditujukan khusus kepada mereka, padahal permasalahan itu harus melibatkan semua agensi penguatkuasaan.

“Jadi pada pendapat saya, itu satu cadangan lebih baik iaitu satu badan bebas yang boleh mengambil tindakan menyiasat terhadap semua aduan atau tuduhan terhadap badan penguatkuasaan.

“Ini termasuk saya tegaskan semula, polis, SPRM, kastam, imigresen dan lain-lain yang berkaitan,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Jadi sekarang saya telah minta peguam negara kaji semula cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan,” katanya.

Terdahulu, Gobind bertanya bagaimana kerajaan dapat memastikan siasatan dijalankan oleh badan bebas sekiranya ia melibatkan pegawai-pegawai tertinggi SPRM.

“Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk pastikan kalau ada aduan khususnya berkenaan pegawai-pegawai SPRM yang tertinggi, yang memang banyak wujudnya,” soalnya.

Gobind turut bertanya bagaimana kerajaan dapat memastikan parlimen mempunyai kuasa untuk membuat pertanyaan selepas siasatan dilengkapkan.

Soalan itu hadir selepas Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta perdana menteri menyatakan kesediaan kerajaan melaksanakan syor daripada Transparency International Malaysia (TI-M) supaya (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus sekali gus meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

Bagaimanapun, Anwar dalam jawapannya menekankan bahawa dia memilih untuk mengekalkan ketua pesuruhjaya SPRM yang dilantik oleh Muhyiddin Yassin selepas menjadi perdana menteri.

Untuk rekod, Muhyiddin melantik Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 2020.

Pengerusi Perikatan Nasional itu merupakan perdana menteri ketika itu.

Dia bawah Akta SPRM 2009, ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan nasihat perdana menteri.

“Mengikut perundangan sekarang, SPRM tu badan bebas. Sebab itu bila saya ambil alih (sebagai PM), saya tak memilih untuk tukar ketua SPRM yang dilantik oleh Pagoh (Muhyiddin) untuk tidak timbulkan persepsi bahawa seorang perdana menteri baru akan melantik ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, sebab tu saya kekalkan.

“Dan peruntukan undang-undang sekarang ini menjamin kebebasan SPRM dan tak tertakluk arahan perdana menteri,” kata Anwar.

Tambahnya, dia berpendapat syor Mas Ermieyati tersebut harus dikemukakan ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti supaya keupayaan SPRM dapat ditingkatkan.

“Kalau dah ambil beberapa inisiatif, berunding dan pertimbangan, maka saya tak ada masalah untuk menimbang syor transparency international dan lain-lain,” katanya.