Skip to main
Logo Malaysiakini

PM sahkan ada juga MP kerajaan disiasat kes rasuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat juga anggota parlimen daripada pihak kerajaan yang disiasat berkaitan dakwaan rasuah.

Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar mendedahkan terdapat siasatan melibatkan kedua-dua belah pihak–kerajaan dan pembangkang.

“Saya tak tahu khusus. Tetapi yang saya tahu ada siasatan, ada melibatkan pembangkang dan blok kerajaan. Saya tak tahu jawatannya.

“Saya hanya tanya kepada pihak penguatkuasaan. Memang ada siasatan. 

Anwar Ibrahim (PH-Tambun)

“Kemudian sama ada pendakwaan dibuat atau tidak terserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sesi soal jawab perdana menteri hari ini.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yussof (Perikatan Nasional-Rantau Panjang) yang mahu tahu sama ada terdapat siasatan rasuah terhadap blok kerajaan.

Dalam soalan tambahan, Siti Zailah turut membangkitkan jika terdapat siasatan terhadap sumber dana parti komponen kerajaan supaya tiada pertikaian atau tuduhan pendakwaan terpilih.

Siti Zailah Mohd Yussof (PN- Rantau Panjang)

Dalam jawapannya, Anwar berkata dia terbuka kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap PKR sekiranya terdapat pihak yang khuatir tentang kemungkinan berlakunya rasuah dalam derma kepada parti itu.

“Tetapi kita kena faham undang-undang, ia membenarkan derma kepada parti politik.

“Dari sudut undang-undang, tiada percanggahan bagi sesiapa untuk menderma kepada parti politik.

“Tetapi apa yang dikaitkan dalam pendakwaan sebelum ini ialah soal kepentingan (peribadi) atau unsur rasuah kerana mereka yang mendapat kontrak menyediakan dana kepada diri mereka sendiri, syarikat mereka atau parti (politik) yang berkaitan dengan mereka,” jelas Anwar.

Khoo Poay Tiong (PH- Kota Melaka)

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka DAP Khoo Poay Tiong mendakwa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin telah menganugerahkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada menantunya, Adlan Berhan.

Menurut laporan The Vibes, Adlan merupakan pemain utama dalam konsesi NIISe bernilai RM1.2 bilion melalui pautan dalam salah satu penyedia penyelesaian keselamatan, S5 Holdings Inc.

Bagaimanapun, pengarah urusan kumpulan S5 Syed Mohammad Hafiz Jamalullail berkata pada 2021 syarikat itu tidak mempunyai hubungan kait dengan politik termasuk Adlan.