Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang 'terkejut' CEP tak keluarkan laporan, mahu penjelasan Daim

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lim Kit Siang "terkejut" Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), yang ditubuhkan oleh kerajaan PH pada 2018, tidak pernah mengeluarkan sebarang laporan.

Kenyataan Lim itu susulan pendedahan bekas anggota CEP Jomo Kwame Sundaram bahawa sekretariat di bawah bekas menteri kewangan Daim Zainudin yang mengeluarkan laporan berkenaan dasar ekonomi dan kewangan, bukannya majlis itu.

Justeru, Lim menggesa laporan Sekretariat CEP dan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) dibentangkan sebagai Kertas Putih di Dewan Rakyat, sebelum sidang ditangguhkan pada 4 April ini.

Dia juga meminta penjelasan daripada Daim dan bertanya jika "dia bersetuju laporan sekretariat CEP dan laporan IRC patut diterbitkan secara terbuka".

"Selama ini, saya ingatkan CEP – yang selain dari Jomo dan Daim, disertai oleh bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Hassan Marican dan juga taikun korporat, Robert Kuok – ada mengeluarkan laporan.

"Semasa Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua, saya telah menggesanya untuk menerbitkan laporan CEP secara terbuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tokoh veteran DAP itu juga membangkitkan yang Daim pernah menggesa kerajaan agar syor yang dibuat CEP dimaklumkan secara terbuka kepada orang awam.

Dia juga berkata Daim pernah memaklumkan yang CEP telah menemu bual lebih dari 300 individu dalam kalangan pegawai bank, ahli perniagaan, penjawat awam, ahli pertubuhan sivil dan kesatuan pekerja dan melalui pertemuan itu, didapati yang adanya budaya menutup sebelah mata terhadap rasuah.

Pada Mac 2019, Mahathir berkata pihaknya memerlukan lebih masa sebelum mendedahkan kandungan laporan itu, yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), memandangkan ada beberapa perkara yang masih di peringkat rundingan.

“Saya tidak tahu apa dia yang kita tidak boleh cerita sebab kita cerita semua, tapi ada perkara-perkara dalam rundingan dan kita tidak boleh dedah apa yang kita berunding sehinggalah keputusan dicapai,” katanya ketika itu.

Susulan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pihak memberi ruang kepada Mahathir untuk menangani beberapa syor yang dikemukakan.

Menurutnya, walaupun secara prinsip PH mahu laporan CEP dibuka kepada umum, ada beberapa syor yang boleh dilaksanakan yang perlu dikenal pasti agar penjelasan boleh diberikan kepada rakyat.

Namun, kerajaan PH tumbang pada Februari 2020.

Antara anggota IRC adalah bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, bekas hakim Mahkamah rayuan KC Vohrah dan Mah Weng Kwai, Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji dan pakar undang-undang perlembagaan Shad Saleem Faruqi.