Skip to main
Logo Malaysiakini

Lucut hak 1MDB: K'jaan pulangkan RM2.1 juta pada 2 parti, keluarga bekas MP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan akan memulangkan RM2.1 juta yang didakwa berkaitan dengan 1MDB dan dilucut hak daripada dua parti politik serta keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar Allahyarham Abdul Manan Ismail.

Parti politik itu ialah Badan Perhubungan MCA Pahang dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memberitahu Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi daripada tiga perayu iaitu Badan Perhubungan MCA Pahang, PBRS dan keluarga Abdul Manan dan bersetuju untuk tidak mengemukakan bantahan terhadap rayuan mereka.

Dia berkata wang dan faedah terakru yang dilucutkan hak oleh kerajaan akan diserahkan kepada ketiga-tiga perayu itu dalam tempoh dua bulan dari hari ini.

Peguam Ben Chan yang mewakili Badan Perhubungan MCA Pahang memberitahu mahkamah bahawa representasi anak guamnya adalah untuk AGC mempertimbangkan untuk membenarkan rayuannya.

Berikutan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Kamaludin Md Said membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dua lagi panel hakim ialah Abu Bakar Jais dan Supang Lian.

Pada 2020, tiga Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM2.1 juta daripada Badan Perhubungan MCA Pahang, PBRS dan keluarga Abdul Manan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan melucut hak RM1 juta daripada PBRS, Badan Perhubungan MCA Pahang (RM835,258.19) dan Rohizah Ahmad dan enam yang lain (RM265,146.16).

Pada 30 Jan lepas, pihak pendakwaan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu termasuk Umno Pekan dan Badan Perhubungan Umno Johor yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Pihak lain ialah Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Pengarah Strategic Engagement Media Sdn Bhd (CENSE Media) Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) dan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Kasitah Gaddam.

Tiga kes hari ini adalah yang terakhir daripada 41 entiti yang SPRM berusaha mendapatkan semula aset yang dikatakan telah dibayar menggunakan dana 1MDB.

Dalam prosiding hari ini, peguam Avinash Kamalanathan mewakili PBRS, Chan dan Sangeetha Vasanth Kumar mewakili Badan Perhubungan MCA Pahang dan Nur Jehan Abu Bakar mewakili keluarga Abdul Manan. Turut hadir untuk pendakwaan ialah timbalan pendakwa raya Samihah Rhazali dan Nik Haslinie Hashim.

-Bernama