Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM nafi 2 pegawai kanan jadi dalang isu rasuah syarikat korporat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM menafikan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebuah blog bahawa dua pegawai kanan suruhanjaya itu menjadi dalang berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat-syarikat korporat.

Suruhanjaya itu menyifatkannya sebagai tohmahan liar dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan imej mereka.

“Kedua-dua pegawai SPRM tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan tersebut.

“Sehubungan itu, SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai SPRM bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

“Namun begitu, sekiranya wujudnya bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada pihak penguatkuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu,” kata SPRM dalam kenyataan.

Kenyataan itu merujuk satu artikel di blog tersebut yang disiarkan pada 25 Mac lalu.

Dakwaan yang dibuat mengaitkan seorang pegawai kanan yang dahulunya berkhidmat di sebuah kementerian dan kini pengarah dalam salah sebuah bahagian suruhanjaya, manakala seorang lagi bertugas di bahagian siasatan.

Sementara itu SPRM menegaskan pihaknya tidak akan tunduk kepada tekanan "mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan" yang sedang disiasat mereka.

Suruhanjaya itu juga berkata pihaknya tidak membuka kertas siasatan secara sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

Jelasnya, setiap siasatan yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

“Seterusnya, mengikut prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes-kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya," tegas suruhanjaya itu lagi.