Skip to main
Logo Malaysiakini

Amzad ada tanggungjawab untuk tak buat kenyataan palsu, kata Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim memiliki tanggungjawab undang-undang untuk tidak membuat kenyataan palsu dan fitnah berhubung dakwaan dia menerima bayaran sebanyak RM15 juta.

Dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan Amzad terhadap saman fitnah yang difailkannya, Anwar berkata Faekah Hussin - yang pernah menjadi CEO Menteri Besar Incorporated (MBI) dan individu yang dipetik Amzad dalam dakwaannya - telah menafikan ada membuat sebarang kenyataan berkaitan ketika Anwr menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Anwar berkata defendan tidak boleh bersandar kepada pembelaan justifikasi, pembelaan perlindungan bersyarat (qualified priviledge) dan ulasan saksama kerana bukan saja Faekah telah menafikan ada membuat sebarang kenyataan, dia sendiri telah membuat penafian ketika sidang Parlimen pada 13 Oktober 2014.

Dia memetik Hansard Dewan Rakyat yang bukan saja menunjukkan dia membuat penafian itu, tetapi berkata hanya dibayar elaun sebanyak RM1 atas peranannya sebagai penasihat ekonomi Selangor.

"Tanpa mengambil kira penafian teras oleh plaintif selama bertahun-tahun lepas, defendan masih berterusan dalam mengungkapkan perkataan-perkataan memfitnah tersebut yang merupakan bukti kukuh akan niat jahat dan mala fide defendan.

"Plaintif menegaskan bahawa defendan sendiri telah, ab initio, mengakui ungkapan kenyataan tersebut sebagai santai dan tidak formal dan tidak dilakukan atas kapasiti politik atau profesionalnya.

"Oleh itu, defendan tidak dan tidak akan berada di bawah tanggungjawab undang-undang untuk mengungkapkan perkataan-perkataan slander tersebut dan/atau perkataan-perkataan libel memfitnah tersebut kepada kumpulan pelanggan tersebut.

"Malahan, defendan juga tidak mempunyai kewajiban undang-undang untuk membuat apa-apa kenyataan palsu dan berniat jahat seperti terkandung dalam perkataan-perkataan memfitnah dan/atau perkataan-perkataan libel tersebut kepada sesiapa saja," menurut Anwar.

Pada 28 Februari lalu, Amzad dalam pernyataan pembelaannya berkata dia mempunyai tanggungjawab moral, sosial dan politik untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai bayaran sebanyak RM15 juta yang didakwa diterima oleh Anwar.

Anwar memfailkan tindakan sivil pada 22 Disember tahun lalu, berhubung kenyataan Amzad bahawa dia berbohong memperoleh gaji RM1 semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Satu lagi isu yang termasuk dalam saman itu adalah pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 ke atas kes Liwat 2.

Anwar mendakwa Amzad menerusi video di TikTok membuat beberapa kenyataan fitnah kepada sekumpulan pelanggan ketika makan di sebuah kedai pada 7 Disember tahun lalu.

Berhubung pembelaan Amzad yang menyentuh pengampunan diraja, Anwar berkata dia telah menerima pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong dan pengampunan itu memadamkan semua sabitan dan hukuman, serta menghapuskan kesalahan lampau.

Justeru, katanya, sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berkenaannya adalah fitnah yang boleh diambil tindakan, tanpa mengambil kira perkara yang kekal dalam rekod kehakiman.

"Rekod jenayah tidak boleh diterima masuk dalam prosiding sivil ini untuk saman fitnah kerana ia dilarang secara nyata di bawah Akta Keterangan 1050," katanya.

Saman fitnah ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

[Baca berita asal]