Kes rasuah penguatkuasa: KDN sedia kerjasama dengan SPRM - menteri
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa terbuka dan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi menyiasat kes rasuah membabitkan semua agensi penguatkuasaannya.
Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata komitmen itu diberikan selaras dengan komitmen kerajaan untuk membasmi masalah rasuah daripada golongan atas hingga ke peringkat bawahan.
Dia juga menyeru orang awam yang mempunyai bukti sebarang gejala rasuah yang berlaku semua agensi dan jabatan di bawah KDN untuk segera membuat laporan kepada SPRM.
"Jadi dengan cara menghormati dan iktiraf peranan agensi penguat kuasa seperti SPRM, itulah pendirian saya sepanjang terajui KDN," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata kebanjiran pendatang asing tanpa izin, pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai