Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: PN belum putuskan 'poster boy' di Selangor

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PN masih belum memuktamadkan calon menteri besar Selangor yang juga "poster boy" dalam PRN yang akan diadakan nanti.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata soal sama ada calon menteri besar daripada PAS atau Bersatu masih lagi dalam rundingan.

"Belum ada keputusan (calon menteri besar Selangor PN)," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya berkenaan perkara itu.

Ditanya sama ada PN telah mempunyai nama-nama yang akan diketengahkan sebagai calon menteri besar, dia berkata: "Belum sampai ke situ lagi, (masih) dalam rundingan".

Semalam, PAS Kedah mengesahkan menteri besar Muhammad Sanusi Md Nor merupakan 'poster boy' untuk negeri itu dalam menghadapi PRN.

Perkara itu disahkan Setiausaha PAS Kedah Musoddak Ahmad yang menyifatkan prestasi serta sokongan rakyat kepada Muhammad Sanusi menjadi asas untuk diangkat sebagai 'poster boy'.

Sanusi juga pengarah pilihan raya PN bagi PRN akan datang, yang melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Pada 12 Mac lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan memegang jawatan menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika PN menang di negeri-negeri tersebut dalam PRN akan datang.

Sementara itu sumber Bersatu turut mengesahkan bahawa soal calon menteri besar Selangor masih lagi dalam perbincangan.

"Masih dalam perbincangan dan belum ada nama-nama yang boleh disebut sehingga kini.

"Bagaimanapun kita sudah ada beberapa calon yang dikenal pasti," katanya.