Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Fadhlina di landasan betul bagi jadikan sekolah kebangsaan pilihan semua

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Khairy Jamaluddin memuji Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek atas pendiriannya bahawa sekolah tidak seharusnya menyusahkan pelajar bukan Islam dengan sewenang-wenangnya menutup kantin pada bulan Ramadan.

Bekas menteri kesihatan itu berkata ini menyumbang kepada usaha menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama semua ibu bapa tanpa mengira kaum.

Bercakap di podcastnya semalam, Khairy berkata statistik lepas menunjukkan trend di mana hanya dianggarkan 10 peratus ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, dengan selebihnya memilih sama ada sekolah Cina swasta atau jenis kebangsaan.

Kata Khairy, walaupun kualiti pendidikan adalah salah satu faktor, kaum juga memainkan peranan.

"Salah satu yang kita selalu dengar adalah sekolah kebangsaan itu not very welcoming (tidak begitu mengalu-alukan) kepada mereka, seolah-olah ada stereotype terlalu Melayu, Islamik dan sebagainya.

"bayangkan ada ibu bapa Cina yang sanggup hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, yang percaya kpd dasar untuk integrasi anak-anak mereka, yang percaya sekolah kebangsaan, yang nak anak mereka pergi ke sekolah kebangsaan, tapi pada bulan puasa 'sorry canteen tutup, you kena sort out your own lunch' (maaf kantin tutup anda perlu uruskan sendiri makan tengah hari)," katanya.

Bekas ahli parlimen Rembau itu menambah bahawa bukan sahaja ibu bapa bukan Melayu akan merasai kesannya tetapi juga anak-anak mereka, yang akan menjadi sangat bingung dengan perubahan mendadak kepada rutin sekolah mereka semasa bulan puasa.

Justeru, katanya, dalam semangat menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa, pesanan Fadhlina berhubung kantin pada Ramadan perlu dipuji.

Fadhlina telah memberi mandat supaya sekolah melibatkan diri dengan ibu bapa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menutup kantin.

Dia berkata ini mesti berlaku walaupun hanya 10 peratus daripada pelajar sekolah bukan Islam.

Pada 2013, sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh memaksa pelajar bukan Islam makan di bilik mandi pada bulan puasa.

Kemudian pada 2015, seorang guru di sebuah sekolah di Kedah didakwa memberitahu pelajar bukan Islam supaya minum air di tandas dan minum dari paip atau air kencing mereka sendiri jika mereka tidak mempunyai air.