Skip to main
Logo Malaysiakini

Bon RM10 juta PKR: Saya dipaksa tandatangan, tak baca isi kandungan - Zuraida

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta yang ditandatanganinya sebelum dibenarkan bertanding di Ampang di bawah tiket parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam kenyataan saksinya terhadap saman RM10 juta PKR berhubung dia keluar parti, bekas menteri industri perladangan dan komoditi itu mendakwa dia dipaksa menandatangani dokumen itu dan dia tidak mengetahui butiran dokumen yang ditandatanganinya.

Bekas ahli Parti Bangsa Malaysia itu mendakwa bahawa dia hanya diserahkan dokumen itu sehari sebelum penamaan calon untuk PRU14 pada 2018 tanpa butiran, terma dan syarat dijelaskan kepadanya, dan dia tidak mempunyai peluang untuk meneliti dokumen berkenaan pada masa itu.

Zuraida, yang juga pernah menyertai Bersatu selepas meninggalkan PKR pada Februari 2020, memberi keterangan di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia hanya diberitahu untuk menandatangani dokumen itu dan bahawa dia tidak diberi pilihan lain selain meletakkan tandatangannya pada dokumen itu dan mendakwa dipaksa berbuat demikian.

Dia mendakwa bahawa jika dia mengetahui kandungan sebenar dokumen itu, dia tidak akan menandatanganinya, dan kerana semua sebab di atas serta keinginannya untuk menjaga kepentingan pengundi Ampang telah membuatnya akhirnya menandatangani dokumen berkenaan.

“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya telah menandatangani dokumen yang dilampirkan di dalam Lampiran 1 (perjanjian bon RM10 juta) tersebut ataupun tidak.

“Seperti yang saya katakan, saya pernah menandatangani dokumen yang serupa dan juga dokumen-dokumen lain berhubung PRU-14. Tetapi saya tidak membaca isi kandungan dokumen-dokumen yang diberikan kepada saya pada masa material.

“Malah, tiada sesiapa yang menerangkan kepada saya tentang terma dan kesan dokumen-dokumen berkaitan dan saya juga tidak diberi salinan dokumen-dokumen itu pada bila-bila masa," kata Zuraida.

Bertentangan dengan keterangan Setiausaha Agung PKR dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, defendan mendakwa tidak masuk akal untuk parti itu mengira bon RM10 juta yang melibatkannya hanya untuk PRU14, dengan alasan tuntutan mahkamah oleh parti itu berniat jahat dan bertujuan memperkayakan parti.

Zuraida memberi keterangan bahawa dia terkejut apabila mendapat tahu menerusi laporan media bahawa PKR tiba-tiba mengumumkan pemecatannya.

Dia mendakwa sebelum pengumuman media mengenai pemecatannya, dia telah pun menjawab tunjuk sebab PKR sebelum ini atas tiga dakwaan, sambil menambah dia berasa optimistik dan “sangka baik” terhadap penjelasannya kepada parti dan berpendapat perkara itu boleh diselesaikan secara baik.

“Saya benar-benar terkejut dan sangat kecewa dan merasakan bahawa kewujudan saya tidak lagi dihargai oleh parti tersebut memandangkan mereka boleh sewenang-wenangnya memecat saya daripada parti tersebut tanpa mempertimbangkan fakta bahawa saya merupakan seorang ahli setia yang telah berjuang untuk parti tersebut untuk sekian lamanya.

“Dengan pemecatan tersebut, saya merasakan bahawa pengorbanan saya selama lebih 21 tahun terhadap parti tersebut tidak lagi dihargai dan diiktiraf oleh Parti.

“Selepas berfikir panjang, saya akhirnya membuat keputusan untuk mengumumkan tentang perletakan jawatan saya daripada parti tersebut.

“Saya menegaskan di sini bahawa saya hanya membuat pengumuman untuk keluar parti selepas parti tersebut mengumumkan tentang pemecatan saya di media massa. Jikalau bukan kerana itu, saya tidak pernah merancang untuk meninggalkan parti tersebut yang saya telah bangunkan selama 21 tahun lebih itu,” katanya.

[Baca laporan penuh]