Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan digesa tetapkan langkah, garis masa penyelesaian isu doktor kontrak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menetapkan garis masa untuk langkah-langkah yang diambil, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh tiga tahun.

Presiden MMCA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata ini bagi memberi keyakinan kepada kalangan doktor yang terkesan bahawa ada kemungkinan untuk mereka diserap sebagai kakitangan tetap.

“MMA ingin berterima kasih kepada perdana menteri di atas komitmennya untuk menyelesaikan isu doktor kontrak dalam masa tiga tahun. Namun, kerajaan perlu menetapkan garis masa dengan tahap kemajuan untuk menyelesaikan isu tersebut bagi doktor-doktor yang terkesan.

“Lebih banyak peletakan jawatan boleh dijangka dalam tempoh itu kerana sejumlah doktor kontrak mungkin tidak sanggup menunggu tiga tahun lagi,” kata Muruga dalam kenyataan hari ini.

Gesaan ini dibuat selepas jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa masalah doktor kontrak KKM akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Dr Muruga Raj Rajathurai

Anwar semalam dilaporkan berkata masalah berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan kerajaan sedia ada tidak boleh dibebankan untuk menyelesaikannya dalam tempoh setahun.

"Kalau kerajaan nak selesaikan semuanya sekali bagi 4,000 (lantikan tetap) yang dituntut, maknanya kita perlukan RM10 bilion setahun. Maka, tidak mungkin," kata Anwar.

Anwar juga membangkitkan bahawa KKM menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023, iaitu RM36.3 bilion, termasuk peruntukan RM3 bilion setahun untuk lantikan baru secara tetap dan kontrak bagi lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Mengulas lanjut, Muruga bagaimanapun berkata selain isu penjawatan tetap, kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada isu-isu lain berhubung tenaga kerja kesihatan awam.

Beberapa isu tersebut tidak memerlukan komitmen kewangan seperti memastikan waktu kerja yang lebih munasabah untuk keseimbangan kehidupan, ketelusan dalam kriteria pemilihan jawatan tetap dan jaminan untuk peningkatan kerjaya, katanya.

“Kami faham mendapatkan jawatan tetap memerlukan komitmen kewangan jangka panjang yang signifikan daripada kerajaan tetapi buat masa ini, kerajaan boleh meneruskan langkah yang lebih mudah dicapai," katanya.

Dr Zaliha Mustafa

Muruga berkata MMA telah membangkitkan pelbagai isu serta cadangan penyelesaiannya ketika sesi dialog bersama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, MMA berharap perdana menteri telah diberi taklimat mengenai perkara yang dibincangkan.

Dia berkata antara isu yang boleh diselesaikan segera tanpa komitmen kewangan daripada kerajaan ialah kes buli di tempat kerja.

Berkenaan masalah itu, dia berkata MMA mencadangkan agar ketua jabatan di kemudahan kesihatan awam bertanggungjawab terhadap sebarang isu buli di jabatan mereka.

Muruga juga mendedahkan bahawa mereka telah berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk memberi penerangan mengenai isu itu tetapi sebaliknya hanya dirujuk kepada menteri kesihatan.

“Kami menghargai pertemuan dengan menteri kesihatan beberapa kali.

“Bagaimanapun adalah penting bagi perdana menteri sebagai pemimpin negara dimaklumkan tentang besarnya isu dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita dan kesannya yang meluas terhadap penyampaian penjagaan kesihatan untuk rakyat.

"Masalah yang kita hadapi ini adalah sistemik dan adalah akibat daripada dasar-dasar yang gagal pada masa lalu," katanya lagi.