Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kewajaran AS, Barat haramkan TikTok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Berikutan sejumlah negara terutamannya Barat yang mengharamkan aplikasi TikTok atas dasar menggugat keselamatan keselamatan adalah rasional untuk kita menilai kewajaran keputusan tersebut.

Pada Februari lepas AS dan Kanada mengharamkan penggunaan aplikasi TikTok pada semua peranti, peralatan dan perkakasan milik kerajaan persekutuan.

Aplikasi video popular dari China dianggap "berisiko tinggi disebabkan oleh beberapa isu keselamatan" dan mesti dipadamkan dari semua peranti yang dimiliki.

Terkini United Kingdom pula secara rasmi mengharamkan pemasangan aplikasi TikTok pada peranti yang digunakan oleh penjawat awam. Arahan diberikan beberapa hari selepas saranan diberikan kerana aplikasi itu didakwa boleh digunakan untuk tujuan pengintipan oleh Beijing menerusi data-data yang dikumpul.

Sebelum ini Kesatuan Eropah, Kanada, dan New Zealand, mengharamkan pemasangan TikTok pada peranti kerja milik penjawat awam. Isu ini belum berakhir dengan pentadbiran Presiden Joe Biden ingin memaksa ByteDance menjual pegangan dalam TikTok sekiranya ingin dibenarkan terus beroperasi di AS.

Negara lain seperti Australia dan Jepun dikatakan sedang menimbang pengharaman aplikasi TikTok dari peranti kerajaan. Pakistan pula mengharamkan aplikasi perkongsian video TikTok untuk membanteras penyebaran kandungan "tidak bermoral".

Di negara ini isu TikTok berkait dengan politik dan menurut TikTok Malaysia memberitahu mereka tidak membenarkan sebarang iklan politik disiarkan di platform berkenaan.

Ada isu yang merisaukan

Sejauh manakah kewajaran sederetan kerajaan Barat bertindak mengharamkan aplikasi tersebut daripada digunakan dalam semua peranti, peralatan dan perkakasan milik kerajaan? Seolah-olah semacam tercetus perang platform antara kuasa utama Barat dan China.

TikTok sebuah syarikat media sosial millik China, ByteDance dengan pengenalan karakteristik model shoppertainment itu didakwa Barat sebagai terdedah kepada isu keselamatan.

Isu keselamatan itu ialah data pengguna TikTok berisiko dicapai oleh Beijing.

Walaupun Tiktok menyatakan data penggunanya adalah selamat tetapi ia masih tidak dapat mengetepikan kebimbangan Barat sejak lima tahun dahulu.

Namun sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan TikTok diminta kerajaan China atau agensi perisikannya untuk memberikan data pengguna atau sebagai propaganda kerajaan China.

Kalau dilihat dalam konteks di Malaysia ia dijadikan alat kempen parti-parti politik dan propaganda golongan tertentu yang menggunakannya ketika pilihan raya.

Tulisan ini bukanlah mewajahkan sikap bias pro-China tetapi sekadar menghujah kewajarannya.

Jika diperhatikan, TikTok didakwa mengambil data, mengetahui lokasi pengguna, dan minat pengguna itu tiada bezanya dengan media sosial lain seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Tetapi ada isu yang merisaukan juga apabila ByteDance mengakui kakitangannya menggunakan aplikasi mereka untuk mengintip wartawan bagi menjejaki sumber mereka, dan itu tentulah menjejaskan kredibilit TikTok.

Adakah kakitangannya menjadi perisik kepada Beijing? Kita tidak menafikan mungkin juga kakitangan aplikasi media sosial lain yang menjadi perisik kepada CIA atau FBI.

Jadi jika sehingga kini sekarang tiada bukti kukuh menunjukkan TikTok menjadi ruang bagi Beijing mengumpul data pengguna apakah isu di sebaliknya. Apakah kewajarannya?

Selama berdekad-dekad, AS mendominasi pasaran platform digital terutamanya media sosial. Bahkan dominasi itu berada dalam lingkungan dan pengaruh geopolitik hegemoni AS sejak era perang dingin lagi.

Tak bebas dari isu sosial

Melalui rangkaian pakatan dan sekutu strategik dalam kalangan negara-negara dunia AS menikmati kuasa ekonomi dan politik.

Namun adakah kebangkitan China sebagai kuasa politik, ekonomi dan teknologi telah menggugat hegemoni AS khususnya dalam platform digital?

Kontroversi TikTok menunjukkan sejauhmanakah geopolitik platform telah menggugat dominasi AS dalam ketiga-tiga bidang yang disebutkan di atas.

Dalam kebanyakan sektor, tumpuan pasaran adalah sesuatu yang kusut khususnya dalam ekonomi maklumat. Namun dalam platform digital antara yang menjadi taruhan ialah pengawal maklumat dengan keupayaan untuk mempengaruhi kedudukan sosial warga Internet dalam menentukan idea dan maklumat yang dikongsi dan disebarkan merentasi sistem sosioteknikal.

Oeh itu dalam pasaran platform antarabangsa, hanya segelintir syarikat AS yang menikmati hegemoni dan kuasa dalam mempengaruhi budaya, ekonomi dan politik yang diperolehi daripada platform prasarana dan data.

Sekarang TikTok turut berada dan menguasai ruang ini dan menjadi persaingan kepada syarikat-syarikat AS dan kejayaan globalnya membuktikan bahawa para pengguna boleh saja menggunakan platform atau pentas lain selain AS dan Barat sebagai alternatif.

Dominasi pentas digital oleh syarikat-syarikat di Lembah Silikon yang bersifat oligopolistik itu tidak bebas daripada isu sosial, keselamatan, ekonomi dan politik.

Sikap mereka yang tidak demokratik dan antipersaingan (ogolipolistik) dalam mengawal sistem bagi komunikasi, bergaul dan transaksi boleh sahaja diperhatikan daripada medsos AS iaitu Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter yang bersikap autoritarian berbanding dakwaan kebebasan mereka.

Bagaimanakah dengan isu Islamofobia, perkauman, kekeliruan maklumat yang dibiar dan dibesar-besarkan dan mereka menjana dan mengeksploitasi data dengan tidak mengira hak peribadi pengguna? Media sosial AS juga akan menendang keluar atau menyekat pengguna yang kritikal dan mempersoalkan isu keganasan regim haram Zionis yang menjajah Palestin dan apabila kritikal terhadap Yahudi Zionis dianggap sebagai anti-Semitik.

Tidakkah Facebook terbuka kepada penggalian data oleh FBI atau CIA jika mereka inginkan maklumat atau data peribadi tentang minat, kesukaan atau keberadaan sesebuah keluarga atau rakan orang yang mereka sasarkan.

Walaupun media sosial tiada kaitan dan hubungan dengan Washington dan badan perisikan tersebut setidaknya mereka mengetahui algoritmanya.

Para penggubal undang-undang di serata dunia telah mengambil tindakan bagi mengekang dominasi dan pengaruh media sosial AS. Banyak kes yang berhadapan isu kemonopolian Google, Facebook, Apple, Amazon dalam isu perlindungan data, persaingan periklanan di medsos dan sikap antipersaingan mereka dikemuka di Australia (Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna), EU (Peraturan EU dalam Perlindungan Data Umum) malah di bumi AS sendiri (dalam senat).

Oleh itu apakah isunya dengan TikTok? Apakah kawajarannya? Hakikatnya isu TikTok merupakan persaingan antara AS dan China dalam menguasai geopolitik pentas atau platform digital.

Ia khususnya berkaitan dengan kuasa manakah yang dapat memperolehi nilai ekonomi digital daripada platform ekonomi; siapa yang menetapkan peraturan, undang-undang dan norma dalam platform tersebut dan mengembang dan pengaruh ideologi menerusi landasan sistem teknnikal-sosial dan siapa yang dapat menikmati kuasa politik strategik daripada kawalan, penguasaan dan capaian kepada prasarana data digital.

Inilah isunya dan korporat China ByteDance telah mencabarnya.

Sehingga kini, imperium geopolitik yang diperlihatkan melalui konteks dan persekitaran fizikal sebahagian besar telah dikuasai AS, malah juga mendominasi ekonomi dan budaya merentas wilayah-wilayah besar dalam persekitaran digital.

Sehinggalah dalam beberapa dekad kebelakangan ini, firma-firma teknologi China mula menikmati kemakmuran, mengembangkan keupayaan ekonomi dan secara strategik pula menyangi AS dalam wilayah lingkungan pengaruh kapitalisnya.

Dan inilah yang membawa kepada kemunculan TikTok dalam persekitaran digital makmur yang mencetuskan persaingan geopolitik platform.

Cabar kewibawaan AS

Seperti platform pesaingnya TikTok tidaklah mengemukakan ancaman keselamatan kepada pengguna mahupun mana-mana kerajaan.

Bahkan hampir kesemua platform digital mengemukakan ancaman ke atas data dan keselamatan penggunanya dan keupayaan mereka untuk mengeksplotasikan data pengguna untuk keuntungan ekonomi masing-masing.

Ini adalah risiko yang terdedah kepada pengguna platform digital bahkan pengguna pun sudah mengetahuinya.

Hanya kerana TikTok mencabar kewibawaan AS dalam geopolitik platform, tindakan AS yang memperlakukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok seperti individu bersalah dan bertanyakan soalan bertubi-tubi ketika sidang Kongres baru ini memperlihatka sikap AS yang tidak boleh berhadapan dengan persaingan sempurna jika dibandingkan dengan layanan mesra diberikan kepada CEO Apple di Beijing.

Dari segi geopolitik, Tiktok sebenarnya telah mencabar kuasa dan hegemoni AS dalam platform digital yang tidak pernah dicabar oleh mana negara atau syarikat bukan Barat sesuatu yang AS nikmati selama berdekad lamanya.

Inilah adalah cabaran AS dalam berdepan dengan sebuah kuasa besar yang bukan gah dari segi kekuatan politik, ekonomi bahkan teknologi dan TikTok telah memperlihatkan keunggulannya.


ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.