Skip to main
Logo Malaysiakini

Bazar Ramadan Rahmah: Adakah harganya benar-benar ‘rahmah’?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Konsep Bazar Ramadan Rahmah (BRR) diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan di 38 buah lokasi di seluruh negara merupakan inisiatif bawah Payung Rahmah.

BRR yang dirasmikan pada 27 Mac 2023 bertujuan untuk para peniaga dapat menawarkan harga Menu Rahmah yang berpatutan kepada para pelanggan dalam usaha untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Persoalannya, adakah harga yang ditawarkan benar-benar ‘rahmah’ serta berbaloi dengan kualiti makanan yang diberikan?

Malaysiakini melakukan tinjauan terhadap dua BRR di Lembah Klang, satu di BRR berhampiran Kompleks Campbell Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman dan satu lagi di Presint 14, Putrajaya.

Tinjauan mendapati harga RM5 yang ditetapkan berbaloi kerana rata-rata menu yang ditawarkan adalah makanan berat seperti nasi tomato, nasi lemak berlauk, nasi ayam, nasi kak wok, roti John mini dan bihun sup ayam.

Selain makanan berat, terdapat juga pencuci mulut dan kuih-muih yang dijual dengan kuantiti yang sesuai dengan harga Menu Rahmah (RM5) seperti buko buah, takoyaki dan juga kuih keria.

Bagaimanapun, di Putrajaya menu itu kurang diketengahkan dan pengunjung perlu bertanya sendiri sama ada menu rahmah dijual di situ.

Ia berbeza dengan setuasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman apabaila ia dipaparkan di hadapan kendera saji para peniaga.

Bagi seorang penyunting video yang masih bujang, Hannan Asri, 24, jualan Menu Rahmah di pasar Ramadan amat berbaloi.

Katanya, ia dapat membantunya yang tidak mempunyai masa menyediakan juadah berbuka ekoran waktu kerja yang padat.

“Sebabkan saya hanya tinggal seorang dan masa kerja pun tidak tentu, jadi dengan jualan Menu Rahmah ini saya tidak perlu fikir tentang pembelian barangan mentah.

"Dengan hanya RM5 itu, saya dapat satu menu lengkap untuk berbuka," katanya.

Sementara itu, seorang penuntut universiti yang juga merupakan pengunjung BRR Presint 14, Nuzul Ikmal, 24, berkata Menu Rahmah sangat membantunya  menjimatkan kos.

“Saya sangat bersyukur dengan inisiatif Menu Rahmah ini kerana saya dapat memilih pelbagai pilihan makanan dengan harga yang berbaloi serta kuantiti yang mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua Menu Rahmah ditawarkan mendapat sambutan.

Seorang peniaga keropok lekor antaranya berkata jualannya kurang memberangsangkan walaupun bilangan pengunjung yang datang agak ramai.

Lelaki 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal itu menjual semua makanannya dengan harga RM5.

“Ramai sahaja yang datang ke Bazar, namun mereka tidak memilih untuk membeli jualan saya.

“Tetapi saya yakin bilangan pengunjung yang datang ke Jalan TAR akan meningkat di akhir bulan Ramadan nanti,” katanya yang sebelum ini berniaga di Seremban.

Berbeza dengan seorang peniaga kebab, Imran Mustaqim, 25, pula berkata jualannya mendapat sambutan menggalakkan.

Imran Mustaqim (kanan)

Bagaimanapun, katanya, tidak semua yang membeli Menu Rahmah yang ditawarkan.

Di BRR, peniaga dibenarkan menjual makanan lain selain Menu Rahmah.

Dia yang sudah lima tahun berniaga itu juga memohon kerajaan membantu mereka supaya dapat terus memperkenalkan menu murah itu bagi membantu orang ramai berjimat.

“Kami boleh menyahut saranan kerajaan untuk mengadakan Menu Rahmah.

“Tetapi kerajaan juga perlu membantu para peniaga dengan memberi subsidi dan mengawal harga barangan mentah untuk memudahkan urusan kami,” katanya.