Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa JAS tarik balik kelulusan EIA untuk projek ladang sawit di Pahang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktivis alam sekitar menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menarik balik kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) berhubung projek ladang kelapa sawit di Rompin, Pahang yang meliputi kawasan seluas hampir 8,500 hektar.

RimbaWatch, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan rasa kecewa terhadap kelulusan itu dan menegaskan pelbagai isu alam sekitar dan sosial akan timbul sekiranya projek itu diteruskan.

Kumpulan tersebut berkata projek yang melibatkan pembalakan hutan semulajadi yang hampir dua kali ganda saiz Putrajaya itu, bercanggah dengan tindakan kerajaan untuk mempercepatkan kelestarian dalam industri kelapa sawit dan meningkatkan reputasi antarabangsa komoditi tersebut.

“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) tidak membenarkan penebangan hutan berlaku selepas 2020.

“Malaysia menyasarkan 100peratus pensijilan MSPO, dan telah menyatakan hasrat untuk mewajibkan MSPO bagi semua ladang kelapa sawit.

“Disebabkan peraturan ini, projek ini tidak boleh menerima pensijilan MSPO kerana kawasannya akan ditebang selepas 2020.

"Oleh kerana ia tidak boleh diperakui, produk itu tidak boleh diproses atau dieksport, dan oleh itu tiada alasan ekonomi untuk projek ini," katanya.

Mereka mendakwa projek itu akan mengakibatkan kesan buruk yang tidak dapat dielakkan kepada ekologi dan biodiversiti kawasan itu, selain EAI diluluskan walaupun tiada tindakan mencukupi untuk mengurangkan impak berkenaan.

EIA berkenaan juga menurut mereka gagal menangani kehilangan stok karbon yang besar akibat projek itu, seterusnya memberikan implikasi terhadap tadahan stok karbon di seluruh negara.

Kemusnahan hutan katanya, juga akan meningkatkan risiko konflik manusia-hidupan liar (HWC).

“EIA menerima bahawa HWC dijangka berlaku dan menggariskan risiko konflik dengan kera, babi hutan, tapir, kucing harimau bintang, ular, beruang matahari, gajah, dan juga harimau.

“Pertembungan yang dijangkakan dengan alam semula jadi ini berkemungkinan meningkatkan risiko kerosakan tanaman, kemusnahan harta benda dan juga kecederaan atau kematian.

"Kos ekonomi dan manusia di Malaysia bagi HWC sudah tinggi, dan projek ini hanya akan memburukkan lagi masalah ini," katanya lagi.

EIA gagal iktiraf tanah Orang Asli

RimbaWatch juga terkejut kerana EIA disalahtafsirkan dan memperkecilkan konsep tanah adat dan hak Orang Asli ke atas tanah mereka.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan bahawa permohonan Orang Asli untuk tanah mereka diwartakan belum diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

EIA bukan sahaja gagal mengiktiraf hak Orang Asli ke atas tanah mereka, malah RimbaWatch berkata EIA mendakwa "projek itu tidak akan memberi kesan kepada kehidupan Orang Asli atau akses kepada hutan".

“EIA gagal menjawab dakwaan bahawa persetujuan Orang Asli terhadap projek itu diperoleh secara salah.

“Ia hanya menyebut bahawa masyarakat Orang Asli di tapak projek telah ‘bersetuju’ dengan pampasan yang ditawarkan oleh penyokong projek, namun tidak merujuk langsung kepada sekatan yang didirikan Orang Asli sebagai protes terhadap projek itu.

"Juga ketiadaan sebarang rancangan mitigasi yang mencukupi untuk menangani potensi pelanggaran hak asasi manusia ini dalam EIA.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan tujuh Orang Asli daripada suku Temoq di Pahang memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan ketua pengarah alam sekitar untuk meluluskan EIA untuk projek itu.

Dalam pemfailan mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuantan pada hari Rabu, mereka memohon pengisytiharan bahawa hak untuk mendapatkan persekitaran yang bersih, selamat dan mampan adalah hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bagi perintah untuk membatalkan keputusan ketua pengarah, yang mana mereka katakan adalah "haram dan oleh itu batal dan tidak sah".