Skip to main
Logo Malaysiakini

PN: Jangan hukum pekerja kesihatan sertai mogok

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya tidak menghukum mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam mogok pekerja penjagaan kesihatan yang dikatakan akan berlangsung antara 3 hingga 5 April ini.

Jelas jawatankuasa kesihatan PN, luahan kekecewaan yang tidak menjejaskan keharmonian awam adalah perkara biasa dalam negara demokrasi.

"Dalam masa yang sama, kami juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat.

"Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan khabar angin bahawa pekerja penjagaan kesihatan mungkin mogok antara 3 hingga 5 April, dengan laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak di seluruh negara menyertai mogok itu atau meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Jawatankuasa kesihatan PN juga menggesa kerajaan membentuk suruhanjaya perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan segera bagi menangani isu yang dihadapi oleh petugas kesihatan awam.

Katanya, pekerja kesihatan di seluruh negara tidak boleh menunggu lagi untuk masalah yang sekian lama berlarutan.

"Pihak jawatankuasa juga menyeru kerajaan jangan memandang ringan tentang permasalahan ini.

"Mereka sudah tidak mampu untuk bersabar kerana sudah bertahun menunggu, termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada bulan Jun nanti walaupun mereka tetap terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan dibebani tekanan mental dan fizikal yang berterusan.

"Pihak jawatankuasa juga merasakan bahawa suruhanjaya perkhidmatan kesihatan harus ditubuhkan dengan kadar segera dan berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam negara kita, bukannya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan," kata Ahmad Yunus.

Ahmad Yunus berkata jawatankuasa itu memahami nasib pekerja kesihatan berkenaan kerana tinjauan mereka mendapati persekitaran kerja dan faedah untuk mereka sangat mengecewakan.

Jelasnya, sistem aduan pekerja kesihatan tidak berfungsi dengan baik yang akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal pekerja serta emosi mereka.

"Telah bertahun keluhan demi keluhan disuarakan, kerajaan telah silih berganti, menteri kesihatan datang dan pergi namun masalah yang membelenggu sektor kesihatan masih tidak dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu, tambahnya, ekonomi global yang semakin mencabar berpotensi menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja mahir dan pakar.

Dia berkata jawatankuasa kesihatan PN akan terus memantau keadaan dan bersedia mendengar sebarang masalah yang dihadapi petugas kesihatan.

“Sekali lagi kami menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Ini bukanlah masalah kerajaan semata-mata, malah tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik,” katanya.