Skip to main
Logo Malaysiakini

Beri kami peluang selesaikan isu doktor kontrak - Zahid

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyeru doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di hospital-hospital seluruh negara memberi peluang kepadanya dan jawatankuasa peringkat tertinggi yang ditubuhkan baru-baru ini untuk menyelesaikan isu berbangkit melibatkan pekerja sektor kesihatan.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di PPR Semarak, Ahmad Zahid berkata terdapat beberapa syarat skim baru untuk membantu kumpulan terbabit.

"Saya telah berbincang dengan menteri kesihatan dan saya telah membentuk jawatankuasa peringkat tinggi di mana bukan hanya Kementerian Kesihatan yang akan terlibat, tetapi juga Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan beberapa pihak lain yang perlu dibincangkan untuk mengukuhkan bahawa skim baru perlu dibangunkan untuk membantu doktor kontrak ini yang saya percaya perlu dilindungi.

"Dan ia perlu mengikut tatacara dan skim perkhidmatan pihak kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas desas-desus mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah membincangkan beberapa cadangan untuk menjadikan doktor kontrak sebagai pekerja tetap kerajaan.

"Jadi saya harap mereka memberi peluang kepada saya yang telah diberi kepercayaan untuk menyelesaikan dengan cara terdekat.

"Insya-Allah tidak ada masalah yang tidak boleh kita perbincangkan atau selesaikan," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Katanya, persetujuan menubuhkan jawatankuasa yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi - termasuk Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali - itu dicapai oleh jemaah menteri sebelum ini.

Ia susulan desas-desus mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, serta kemunculan catatan Instagram yang menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

KKM sebelum ini mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dalam sebarang “perhimpunan haram".

Menurut KKM, berdasarkan surat edaran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011, penjawat awam adalah dilarang terlibat dalam perhimpunan seumpama itu.